Rosak negara! Seludup minyak masak pun  ada ‘counter setting’, 2 penguat kuasa ditahan bantu sindiket di sempadan

SELAMA ini mungkin ada antara kita beranggapan sindiket rasuah mengatur kaunter atau counter setting hanya melibatkan urusan warga asing masuk ke negara ini tanpa melalui  prosedur yang sah.

Tetapi rupa-rupa kegiatan memperolehi wang haram tersebut turut berlaku bagi urusan menyeludup barang-barang ke negara jiran di sempadan.

Ia terbukti apabila dua anggota penguat kuasa antara lapan individu ditahan disyaki bertindak mengatur kaunter atau counter setting dalam sindiket penyelewengan 11,050 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dalam operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan, dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga semalam.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata kedua-dua penjawat awam terbabit daripada jabatan berbeza di Rantau Panjang, berusia 27 dan 41 tahun, dipercayai membantu sindiket di kaunter pemeriksaan bagi memudahkan kenderaan membawa minyak masak bersubsidi melepasi sempadan.

“Dua penguat kuasa ini adalah kunci operasi sindiket kerana peranan mereka membolehkan kegiatan haram berlaku tanpa disedari pihak berkuasa,” katanya di pejabat KPDN Kota Bharu hari ini.

Dalam operasi sama, ketua sindiket berusia 28 tahun turut ditahan.

Azman berkata suspek dipercayai dalang utama penyelewengan yang dikesan sejak 2023 dan mempunyai rekod lampau, termasuk sekurang-kurangnya tiga kes lain di Pasir Mas.

Keseluruhan sitaan berjumlah RM482,225, merangkumi minyak masak bernilai RM27,625, dua lori, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire serta sebuah pacuan empat roda.

Azman berkata siasatan awal mendapati modus operandi sindiket ialah memindahkan kotak-kotak minyak masak dari lori ke dalam Toyota Vellfire sebelum dibawa ke sempadan, dan tidak menolak kemungkinan sindiket mempunyai rangkaian di Thailand.

Beliau berkata kesemua lapan individu yang ditahan direman selama empat hari, bermula hari ini hingga Isnin bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan minyak masak bersubsidi dengan niat melakukan kesalahan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img