SAMAN fitnah yang difailkan oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2021 berhubung dakwaan nepotisme dalam hantaran Facebook berkaitan pelantikan anaknya ke sebuah badan amanah berkaitan kerajaan telah selesai.
Menteri Kesihatan itu berkata, penyelesaian tersebut dicapai di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mahazan Mat Taib selepas Najib bersetuju memuat naik segera kenyataan yang dibacakan di dalam mahkamah ke Facebook miliknya, serta menurunkan hantaran lama yang berkaitan.
Dzulkefly berkata, Najib dalam penjelasannya mengambil maklum aduan beliau di mahkamah bahawa hantaran bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa memberi gambaran seolah-olah beliau mengamalkan nepotisme berhubung pelantikan anak perempuannya, Nurul Iman.
Najib turut menjelaskan Dzulkefly tidak terlibat dalam pelantikan tersebut dan tiada unsur nepotisme di pihak Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.
“Ini sekali gus memperjelaskan bahawa dakwaan nepotisme terhadap saya adalah tidak berasas.
“Dengan persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua pihak, pihak saya telah bersetuju untuk memberhentikan saman sivil fitnah tersebut dan seterusnya menganggap perkara ini selesai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khususnya Mahazan atas kerjasama untuk menyelesaikan perkara itu secara baik dan penuh penghormatan di Mahkamah Tinggi.
“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan peguam saya, ahli keluarga serta rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa memberikan sokongan moral yang kental sepanjang proses undang-undang ini berlangsung.
“Tidak dilupa, sekalung penghargaan kepada rakan-rakan media atas liputan yang adil dan profesional yang diberikan kepada kes ini dari awal sehingga tamat,” katanya.
Sejurus selepas Najib membacakan kenyataan itu, peguam Stanley Sebastian Sinnappen yang mewakili Dzulkefly memaklumkan mahkamah bahawa tiada lagi relif yang akan dimohon dan kes tersebut tidak akan diteruskan.
Pada akhir prosiding, Mahazan merakamkan penghargaan kepada kedua-dua pihak kerana berjaya mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perkara itu.
Dzulkefly, 70, memfailkan saman terhadap Najib pada 31 Disember 2021 dan mendakwa hantaran fitnah itu diterbitkan dengan niat untuk memalukan dirinya selain bermotifkan politik bagi menjejaskan reputasi beliau.
Pada 7 April lalu, Dzulkefly memberitahu Mahkamah Tinggi beliau tidak tahu mengenai pelantikan anak sulungnya itu dalam dua syarikat yang didakwa berlaku sebelum dan selepas pelantikan beliau sebagai menteri.
Beliau berkata, Nurul Iman dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif AIM Solutions Group Bhd (AIM Solutions) pada 30 April 2018, iaitu sebelum pelantikannya sebagai menteri pada Julai tahun sama, manakala pelantikan selaku ahli lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada Oktober 2018, iaitu selepas beliau memegang jawatan menteri.


