POLIS tampil menafikan video tular kejadian cubaan samun terhadap seorang pemandu di Pokok Mangga, Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ia sebaliknya salah faham ketika operasi penguatkuasaan warga asing oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Katanya, sebelum itu tular satu rakaman video berdurasi 1 minit 37 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun menggunakan nama ‘Tuan Pang’.
Menurutnya, rakaman itu memaparkan seolah-olah berlaku cubaan samun oleh tiga lelaki berpakaian hitam yang mengejar sebuah kereta Perodua Myvi dipandu peniaga lelaki berusia 28 tahun.
“Kejadian berlaku pada jam 12.45 tengah malam 19 September lalu ketika peniaga lelaki berusia 28 tahun itu memandu Perodua Myvi melalui lorong gelap di Lorong Pokok Mangga 4.
“Peniaga terbabit bagaimanapun tersalah anggap tindakan anggota Kastam sedang menjalankan operasi terhadap warga asing apabila dia dihampiri tiga lelaki berpakaian hitam yang tiba-tiba keluar dari lorong dan cuba membuka pintu kenderaannya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.



