TOURISM Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan utama negara apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah utama Destinasi Terbaik pada Anugerah Industri Pelancongan 2026 (TIA 2026) Sabtu lalu.
Pengiktirafan itu diterima pada majlis anjuran Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA) dan Santai Travel dengan kerjasama Tourism Selangor di Petaling Jaya bagi menghargai kecemerlangan organisasi, destinasi, produk dan pemain industri pelancongan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kejayaan berkenaan mencerminkan kerjasama erat kerajaan negeri, Tourism Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT), Tourism Malaysia dan pemain industri dalam memperkukuh ekosistem pelancongan negeri.
“Saya amat berbesar hati dapat bersama dengan pemain industri pelancongan pada majlis berprestij ini.
“Anugerah pelancongan ini adalah inisiatif berterusan yang telah diilhamkan bagi menghargai komitmen serta pencapaian cemerlang para penggiat industri,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Menurut Amirudin, Selangor mempunyai pelbagai aset pelancongan yang berpotensi diketengahkan di pasaran domestik dan antarabangsa termasuk alam semula jadi, pendidikan, perubatan, kesihatan, eko-pelancongan, pertanian dan alam sekitar.
Katanya, kedudukan strategik Selangor sebagai pintu masuk ke Malaysia turut memberi peluang kepada negeri itu menjadi destinasi persinggahan pelancong sebelum mereka meneruskan perjalanan ke destinasi lain di seluruh negara.
“Kita akan pastikan tiada pihak yang ketinggalan. Malah kita juga bersedia untuk mengetengahkan produk-produk di Selangor yang saya amati berpotensi untuk dijual di pasaran-pasaran ke seluruh negara yang sememangnya berkualiti dan bernilai tinggi,” katanya.
Yang turut hadir, Presiden MITDA, Kapten Mahadzir Mansor dan Timbalannya, Prof Datuk Azlie Halim manakala bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Ng Yen Yen turut menerima anugerah khas Ikon Pelancongan 2026 pada majlis itu.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur TIA 2026, Datuk Noor Zaleha Baharuddin berkata, anugerah berkenaan bukan sekadar mengiktiraf pencapaian, malah menjadi platform menghargai inovasi dan komitmen pemain industri dalam memperkukuh Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Penilaian dilaksanakan secara telus dan menyeluruh menerusi lawatan tapak, semakan amalan terbaik, kelestarian serta impak kepada industri, manakala penyertaan pelbagai sektor membuktikan kepentingan kerjasama seluruh ekosistem pelancongan dalam menyokong aspirasi Visit Malaysia 2026,” katanya.





