SEORANG penganggur dan lima remaja lelaki bawah umur didakwa secara berasingan di dua mahkamah di Kangar, hari ini, atas pertuduhan merogol serta merogol secara berkumpulan seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun pada Julai lalu.
Di Mahkamah Sesyen, seorang penganggur berusia 18 tahun didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Simpang Empat, kira-kira jam 2 pagi pada 18 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian dan Zuhair Ahmad Zakuan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut diarahkan melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap awal bulan sehingga kes selesai selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Oktober depan bagi proses serahan dokumen.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, lima remaja lelaki berusia 15 hingga 17 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Mengikut kertas pertuduhan, semua pesalah juvana itu didakwa merogol mangsa secara berkumpulan di lokasi berkenaan dalam dua kejadian berasingan.
Kejadian pertama didakwa dilakukan dua tertuduh antara jam 3 hingga 4 pagi pada 18 Julai lalu, manakala kejadian kedua membabitkan empat tertuduh antara jam 2 hingga 5 pagi pada 19 Julai.
Kesemua remaja berkenaan didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Wan Nursyaheedah Wan Najmi.
Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM500 hingga RM1,000 seorang.
Mahkamah turut menetapkan 7 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi proses serahan laporan akhlak dan pembentangan fakta kes sebelum hukuman dijatuhkan, lapor BH.





