SEORANG pegawai kanan perubatan direman lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka berhubung dakwaan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pembekalan implan lutut bernilai kira-kira RM1.5 juta.
Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 50-an yang juga penjawat awam itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, pagi tadi.
Suspek direman sehingga 12 September ini selepas permohonan dikemukakan SPRM bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam ketika hadir untuk memberikan keterangan di pejabat SPRM Melaka.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan dalam tempoh 2024 hingga 2026.





