POLIS mengesahkan siasatan ke atas dua suspek berhubung kes penemuan mayat seorang wanita dalam beg yang ditanam di belakang sebuah rumah di Pedas, Negeri Sembilan pada Khamis lalu sudah mencukupi dan hampir lengkap.
Setakat ini, hanya dua suspek lelaki masing-masing berusia 41 dan 51 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dan polis telah merakam keterangan tujuh individu.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, polis bagaimanapun akan memastikan siasatan disempurnakan dengan lengkap bagi mengelak berlaku kelompongan sebelum dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri.
“Setakat ini tiada lagi suspek yang akan ditahan, kemungkinan jenayah itu hanya melibatkan suspek utama sahaja, namun polis masih menyiasat kes ini bagi melengkapkannya.
“Polis sedang memperkemaskan siasatan termasuk segala dokumentasi yang diperlukan bagi memastikan ianya lengkap,” kata beliau ketika dihubungi pemberita hari ini.
Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat seorang wanita di dalam beg di belakang rumah tanpa penghuni di Kampung Batu 4 Pedas pada 18 Disember lalu dikaitkan dengan seorang wanita, Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.
Susulan penemuan itu, polis menahan dua lelaki masing-masing di Melaka termasuk suspek utama di Genting Sempah, Pahang untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sehingga kini identiti wanita itu belum dapat disahkan berikutan keadaan mayat yang sudah mereput dan dipercayai meninggal dunia lebih daripada tiga hari.
Sementara itu, Muhammad Idzam mengesahkan polis telah membawa suspek utama ke lokasi penemuan mayat terbabit malam tadi untuk melengkapkan siasatan.
Bagaimanapun katanya, tiada barangan yang dirampas di lokasi.
Beliau turut memaklumkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat baru-baru ini kebiasaannya mengambil masa dua hingga tiga bulan sebelum diperolehi.
Namun jelas beliau, pihaknya cuba untuk meneruskan pendakwaan walaupun tiada keputusan DNA bagi pengesahan identiti dengan mengambil kira keterangan suspek, saksi dan hasil siasatan.
“Ini kes yang mendapat perhatian, kami cuba teruskan pendakwaan. Bagaimanapun, kami perlukan juga laporan DNA itu bagi mengukuhkan pendakwaan,” katanya.


