POLIS menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan yang didalangi warga China apabila menahan lapan individu dari negara tersebut termasuk dua wanita dalam serbuan di sebuah hotel di Triang di Bera, Pahang semalam.
Kesemua suspek yang berusia antara 28 hingga 39 tahun itu ditahan dalam sebuan yang dijalankan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, sindiket itu dipercayai mengendalikan pusat panggilan untuk menjalankan kegiatan penipuan sejak Oktober lalu.
“Dalam serbuan itu, polis merampas dua unit komputer riba dan 19 unit telefon bimbit yang digunakan untuk memperdaya mangsa melalui skim pelaburan palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkiflee berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan aplikasi Telegram untuk mendapatkan maklumat mangsa.
Jelas beliau, mereka kemudian memperdaya mangsa melalui skim pelaburan yang menyasarkan warganegara China.
“Semua suspek direman sehingga 1 Disember ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan,” katanya
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap pelbagai taktik digunakan sindiket penipuan dan segera menghubungi polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.


