GRS diramal mampu kekal kuasa tetapi gabungan apa akan terbentuk?

KEMPEN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berakhir malam ini dan esok 1,760,417 pengundi biasa di 73 DUN akan menentukan siapakah yang akan mereka berikan amanah untuk mentadbir negeri di bawah bayu itu.

 Setakat malam ini, berdasarkan kajian, tinjauan dan penyelidikan pelbagai pihak serta agensi tidak ada mana-mana parti yang berupaya mendapat majoriti mudah iaitu 37 kerusi bagi menubuhkan kerajaan.

Satu sumber memberitahu utusanmelayuplus kalau berdasarkan perkembangan PRN negeri itu, bukanlah soal siapa yang akan mendapat majoriti mudah tetapi sebaliknya gabungan kerajaan apakah yang akan terbentuk?

‘’Setakat ini GRS yang bertanding di 55 kerusi dijangka mendapat antara 26 hingga 28 kerusi maknanya tidak cukup 37 kerusi. Jadi GRS kena cari siapakah yang akan dipujuk untuk bersama mereka menubuhkan kerajaan.

‘’Maknanya GRS perlu sekurang-kurangnya 11 kerusi lagi untuk selamat. Ia kerana Pakatan Harapan sekutu GRS yang bertanding di 22 kerusi dijangka mendapat antara 5 hingga 9 kerusi. GRS sudah pasti tidak akan meminta ehsan Barisan Nasional (BN) yang diramal akan memperolehi antara 7 hingga 11 kerusi selepas mencuba nasib di 42 kerusi, jadi siapa pilihan GRS,’’ kata sumber tersebut.

Situasi yang sama juga kata sumber tersebut, akan dihadapi Warisan yang dijangka menguasai antara 14 hingga 19 kerusi selepas meletakkan calon di kesemua 73 DUN dalam pilihan raya berkenaan.

‘’Kalau Warisan berhasrat untuk menubuhkan kerajaan, beliau perlu mendapat sokongan parti lain kecuali GRS dan PH. Tidak mustahil juga untuk pintas GRS,  Warisan akan bersama BN dan parti-parti kecil lain,’’ katanya.

Bagaimana dengan Perikatan Nasional (PN) yang meletakkan 43 calon? Sumber itu berkata, jangkaannya PN yang dipimpin oleh Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin dikatakan mampu menguasai antara 7 hingga 14 kerusi.

‘’Saya tidak fikir PN bercita-cita menerajui kerajaan negeri mengatasi GRS dan Warisan memandangkan PN turun padangan dengan banyak kekangan, tetapi PN boleh membantu atau menjadi ‘king maker’ jika mereka mendapat jumlah kerusi dijangkakan itu,’’ kata sumber tersebut.

Bagaimanapun setakat malam ini GRS dilihat lebih berpeluang untuk menubuhkan kerajaan jika mereka boleh menguasai 28 kerusi dan kemudiannya berpakat dengan PH dan parti-parti kecil lain.

Keadaan ini sama sepertimana dirumuskan dalam kajian akhir Ilham Centre hari ini yang menyatakan   GRS masih mendapat sokongan yang mencukupi untuk mengetuai perundingan bersama parti-parti lokal dan calon bebas serta melepasi garis majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan.

“Faktor yang memberikan GRS kelebihan berbanding parti lain ialah status sebagai penyandang dan imej sederhana Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang boleh diterima merentasi kepimpinan parti lain.

“GRS juga mengekalkan sokongan di kawasan kubu kuat mereka di bahagian pantai barat, kempen yang membawa naratif kestabilan dan sifat tenang mereka dalam menarik perhatian pengundi,” katanya dalam laporan itu yang dikeluarkan.

Ilham Centre berkata, atas faktor-faktor itu, GRS dijangka memperolehi sekitar 26 kerusi daripada 55 kerusi yang ditandingi sekali gus diramal menjadi parti yang meraih jumlah terbesar kerusi selamat berbanding parti lain.

Menurutnya, keadaan berkenaan dijangka mendorong GRS untuk membuka pintu rundingan dengan parti-parti lain mahupun calon bebas yang menang untuk mengukuhkan majoriti.

Katanya lagi, walaupun data menunjukkan kekuatan parti tidak besar berbanding faktor calon tetapi di sebahagian kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menunjukkan faktor parti mempunyai impak yang signifikan.

“Melalui data kajian ini, kekuatan sebenar GRS ialah kepada penyandang dan imej Hajiji berbanding logo parti itu sendiri. Selain itu, GRS berjaya memanfaatkan sumber mereka untuk menggerakkan jentera secara berkesan dan sekata di semua DUN yang ditandingi oleh mereka.

“Kempen GRS defensif tetapi lebih tersusun. Mesej kempen mereka konsisten, kesinambungan pembangunan dan kestabilan. Mereka menonjolkan imej Hajiji sebagai ‘steady’ dan ‘realiable’,” ujarnya.

Ilham Centre memaklumkan, populariti Hajiji membantu melonjakkan peluang kemenangan GRS selain parti berkenaan juga bijak memanfaatkan kelebihan penyandang bagi mengekalkan kerusi.

Jelasnya, ‘mood’ kempen defensif lebih stabil dalam pilihan raya yang melibatkan pertandingan berbilang penjuru.

“Parti Warisan (Warisan) pula berusaha membina momentum ketika fasa awal kempen namun tidak mencukupi untuk mencipta gelombang besar rentas wilayah. Parti ini kelihatan masih kukuh di jajaran pantai timur, dalam masa yang sama melebarkan pengaruh di kawasan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan bandar.

“Namun dengan bertanding secara solo di 73 kerusi, ia memberikan liabiliti kepada jentera dan melibatkan sumber yang besar untuk menggerakkan gelombang. Untungnya, Warisan mungkin memperolehi undi protes dalam kalangan pengundi bandar untuk menolak Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Apapun dalam tempoh beberapa jam sebelum kempen berakhir malam ini dan sebelum pintu pusat pengundian dibuka esok pagi, macam-macam boleh berlaku dan ‘macam-macam akan viral’ yang sekaligus akan menentukan apakah bentuk kerajaan yang bakal ditubuhkan…sama-samalah kita tunggu apa keputusan rakyat Sabah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img