Sindiket pengisytiharan palsu barang import: SPRM reman pemilik syarikat, akaun RM160 juta dibeku

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pemilik syarikat yang disyaki terlibat dalam sindiket pengisytiharan palsu barang import kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Klang, Selangor.

Perintah reman selama lima hari sehingga 26 April depan terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 5 petang semalam dalam satu operasi yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM sekitar Lembah Klang.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2020 dengan menjadi runner bagi individu, syarikat dan juga ejen penghantaran yang menguruskan kemasukan barang-barang import di Pelabuhan Klang.

“Suspek yang dipercayai salah seorang ahli sindiket terlibat dalam aktiviti penyeludupan barangan kontraban daripada pelbagai negara pengeksport dengan menggunakan modus operandi Trade Based Money Laundering,” kata sumber itu hari ini.

Semalam, satu operasi bersepadu antara SPRM dan Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) yang terdiri daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), JKDM dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah dijalankan menerusi Op Celio.

Dalam operasi itu, penggeledahan telah dijalankan di 14 buah lokasi melibatkan premis syarikat dan kediaman suspek sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, operasi tersebut menyasarkan 28 entiti yang terdiri daripada syarikat dan individu melibatkan pengimport, ejen penghantaran dan orang tengah yang disyaki membuat pengisytiharan butiran palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import yang dibawa masuk ke Malaysia kepada JKDM untuk mengelak dan pengurangan duti import.

Siasatan yang dilakukan BOK ini turut mengesan sindiket itu memberi rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi aktiviti haram tersebut selain terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit.

Melalui operasi itu juga, SPRM turut membekukan 133 akaun bank persendirian serta syarikat yang berjumlah kira-kira RM160 juta.

Aktiviti tersebut turut menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil duti kastam mencecah kira-kira RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM,  Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan operasi tersebut dan berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Tambah beliau, Op Celio akan diteruskan hari ini dengan menyasarkan lagi 14 premis melibatkan kediaman serta syarikat dan juga ejen penghantaran sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img