SEBUAH kereta terbabas masuk ke dalam khemah gerai jualan durian dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Mergastua, Kepong Baru di Kuala Lumpur malam tadi.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintenden Suffian Abdullah berkata, kemalangan membabitkan kereta jenis Toyota Corolla Altis dan Honda City itu berlaku kira-kira jam 10.25 malam.
“Kejadian berlaku ketika sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis dipandu seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dipercayai memasuki laluan salah lalu melanggar kereta Honda City berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, kereta Toyota Corolla Altis berkenaan terbabas ke bahagian kanan jalan dan terbabas ke sebuah khemah gerai durian yang berada di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya kejadian itu turut tular di media sosial selepas beberapa gambar dan video di dimuat naik di Facebook lewat malam tadi.
Suffian berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan membabitkan pemandu kenderaan atau orang awam di lokasi kejadian setakat ini.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk merakam percakapan pemandu, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, mengesan serta mencari saksi bebas bagi membantu siasatan.
“Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.






