Rumah kosong jadi stor rokok, arak seludup, JKDM rampas RM1.21 juta

TAKTIK sindiket menggunakan rumah kosong sebagai stor transit untuk menyimpan rokok dan minuman keras tidak berkastam sebelum diedarkan ke pasaran tempatan berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Sibu.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, operasi yang dijalankan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Sibu dan Stesen Sarikei pada 5 hingga 6 Jun lalu itu adalah hasil risikan serta maklumat awam.

Beliau berkata, pemeriksaan di empat rumah tidak berpenghuni itu menemukan 32,078.16 liter minuman keras pelbagai jenis serta 490,000 batang rokok yang dipercayai diseludup.

“Nilai keseluruhan barangan yang dirampas dianggarkan RM362,183.52, manakala jumlah duti dan cukai sebanyak RM851,877.13, menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM1,214,060.65.

“Rumah-rumah yang diserbu dipercayai dijadikan lokasi transit bagi menyimpan barangan seludup sebelum diedarkan kepada pembeli di sekitar Sibu,” katanya pada sidang media di Sibu, hari ini.

Menurutnya, rampasan terbesar dilakukan dalam serbuan di sebuah rumah di Lorong Rantau Panjang pada kira-kira jam 1 pagi, 6 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan menemukan 16,751.76 liter minuman keras bersama 490,000 batang rokok dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai sebanyak RM812,986.71,” katanya.

Beliau berkata, tiga lagi serbuan di Lorong Lilin, Lorong Quarry dan Lorong Ulu Sungai Merah pula membawa kepada rampasan lebih 15,000 liter minuman keras dengan nilai keseluruhan hampir RM401,000.

Norizan berkata, pihaknya percaya sindiket sengaja memilih rumah yang tidak berpenghuni bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Katanya, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan usaha mengesan individu serta sindiket yang terbabit sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang tidak berkastam.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img