Tasek Bera: AMK desak kerajaan negeri Pahang dedah sindiket haram

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) mendesak kerajaan negeri Pahang memberikan penjelasan terbuka berhubung dakwaan kewujudan sindiket haram dari luar negeri itu yang memanipulasi masyarakat Orang Asal Semelai untuk membuka tanah di Hutan Simpan Kekal Tasek Bera.

Ketua Biro Orang Asal AMK Malaysia, Leo Arrey Romani menegaskan bahawa sekiranya benar wujud penglibatan sindiket berkenaan, kerajaan negeri perlu mendedahkan identiti dalang sebenar serta tindakan yang telah diambil terhadap mereka.

LEO Arrey Romani

“Sekiranya benar wujud sindikat yang mengeksploitasi masyarakat Orang Asal, tindakan hendaklah ditujukan kepada pihak yang mengatur dan mendapat keuntungan daripada kegiatan tersebut, bukan semata-mata kepada masyarakat yang didakwa menjadi mangsa manipulasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu berkenaan timbul berikutan tindakan penguatkuasaan berterusan oleh pihak berkuasa negeri terhadap aktiviti penerokaan Hutan Simpan Kekal Tasek Bera yang didakwa meluas sehingga memusnahkan kawasan flora dan fauna yang dilindungi.

Langkah penguatkuasaan itu bagaimanapun berdepan bantahan masyarakat Orang Asal Semelai berikutan penahanan beberapa penduduk tempatan serta dakwaan pencerobohan yang turut menyentuh kawasan kebun sara hidup dan tapak warisan tradisi mereka.

Leo Arrey dalam pada itu turut mempersoalkan kesamarataan penguatkuasaan susulan penahanan lima penduduk Semelai sebelum ini, selain menuntut perincian dakwaan pencerobohan kawasan seluas lebih 7,000 hektar supaya aktiviti komersial berskala besar tidak disamakan dengan kegiatan sara hidup penduduk tempatan.

“AMK juga mengecam tindakan pegawai penguat kuasa yang didakwa menendang periuk kemenyan di Kampung Pathir. Sekiranya benar berlaku, siasatan dalaman mesti dijalankan kerana amalan bernilai spiritual dan budaya masyarakat Semelai wajib dihormati,” ujar beliau.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here