Akauntan berusia 29 tahun dilantik Undang Luak Sungei Ujong baharu

WARIS Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-Waris Klana Hulu melantik seorang akauntan berusia 29 tahun sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang baharu.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan hari ini, pelantikan Muhammad Faris Johari yang merupakan seorang akauntan sebagai Datuk Klana Petra, Undang Luak Sungei Ujong ke-11 dibuat dalam istiadat kerapatan di Telaga Undang pada 22 April lalu.

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Ibu Soko Waris Negeri, Waris Negeri, Datuk Lembaga Lingkungan, Buapak Lingkungan dan pegawai kerajaan.

Pemilihan mengikut salasilah pada Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910 dan hukum adat ‘patah tumbuh’ termaktub pada Fasal 5 Undang-undang Sungei Ujong.

Berdasarkan Fasal 48 (VI) Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910, pelantikan tersebut disahkan oleh Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim Tua Lembaga Waris di-Darat yang sah dan diiktiraf kerajaan Negeri Sembilan.

Aturan adat menjadikan Datuk Klana Petra dibuat tanpa campur tangan pihak luar, selaras Fasal 14 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Sebelum ini Datuk Mubarak Dohak dilaporkan telah dipecat daripada jawatannya malah turut diperakui oleh kerajaan negeri.

Beliau bersama tiga Undang lain telah mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataannya pada 20 April lalu menjelaskan bahawa tindakan Mubarak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz tidak boleh diterima atau diiktiraf.

Ini kerana katanya, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Udang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

“Pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong telah dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.

“Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang(DKU) pada 17 April lepas telah bersetuju menasihat dan menerima kesepakatan Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10 selaras peruntukan Fasal 14(3) UUTKS,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img