SEORANG suri rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Batu Pahat hari ini atas pertuduhan memukul ibu saudaranya yang bergelar datin menggunakan kayu golf dalam kejadian cubaan samun, Isnin lalu.
Nur Arisha Harmira Abd Halim, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Wanita itu didakwa melakukan rompakan harta milik ibu saudaranya berusia 71 tahun menggunakan kayu golf hingga cedera, di sebuah rumah di Taman Manis 2, Parit Raja, dekat Batu Pahat pada jam 4.15 petang, 7 September lalu, lapor Harian Metro.
Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, atau sebatan jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan penuh perubatan mangsa dan fakta kes.
Sementara itu, tertuduh diwakili peguam Siti Farha Garieb daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan, tidak boleh mengganggu mangsa dan hendaklah menyerahkan pasport kepada mahkamah dengan segera.
Berdasarkan laporan, kejadian berlaku ketika mangsa berseorangan di rumah manakala anaknya keluar kerana ada urusan.
Tertuduh memasuki rumah mangsa dan bertindak memukul ibu saudaranya menggunakan kayu golf milik arwah suami wanita itu di kepala dan kedua-dua pergelangan tangan hingga cedera.
Mangsa kemudiannya menjerit meminta pertolongan jiran yang menyebabkan tertuduh terburu-buru keluar dari rumah dan melarikan diri sambil membawa kayu golf.





