Suspek seludup dadah warga China terima bekalan di P Pinang – Polis

SEORANG lelaki warga China yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kerana disyaki membawa dua kilogram (kg) kokain dipercayai mendapatkan bekalan dadah itu daripada individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu dikenal pasti menerusi siasatan awal selepas lelaki berusia 25 tahun berkenaan ditahan pihak berkuasa Hong Kong pada 22 Oktober lalu.

DATUK Hussein Omar Khan

Menurut beliau, suspek dilaporkan tiba dari Pulau Pinang menggunakan penerbangan Cathay Pacific CX622 sebelum pemeriksaan Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong menemukan bahan disyaki kokain dalam bagasi daftar masuknya.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek memperoleh dadah berkenaan daripada seorang individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.

“Suspek dipercayai berada di Malaysia selama tiga hari dan dijanjikan ganjaran sebanyak RMB2,000 (RM1,200) bagi urusan berkaitan dadah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.

Menurut Hussein, semakan terhadap dokumen perjalanan mendapati pasport suspek baru dikeluarkan pada Oktober lalu dan tidak merekodkan perjalanan lain.

BAGASI yang digunakan lelaki warga China mengandungi dadah kokain selepas ditahan pihak berkuasa Hong Kong sebaik sahaja tiba menerusi penerbangan dari Pulau Pinang Khamis lalu. GAMBAR: JSJN PDRM

Suspek juga didapati mempunyai beberapa tempahan hotel walaupun tempoh keberadaannya di Malaysia dipercayai singkat.

Beliau berkata, JSJN akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa Hong Kong bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes itu, termasuk kemungkinan penglibatan anggota sindiket yang berada di Malaysia.

“JSJN akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Hong Kong bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai perkembangan kes. Ini termasuk maklumat berkaitan ahli sindiket yang mungkin berada di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan lelaki berkenaan ditahan pihak kastam Hong Kong selepas dua kilogram dadah disyaki kokain ditemukan dalam bagasi daftar masuknya ketika tiba dari Pulau Pinang, Khamis lalu.

Suspek kemudian didakwa atas kesalahan mengedar dadah berbahaya dan dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kowloon Barat.

Jika sabit kesalahan mengedar dadah berbahaya di Hong Kong, tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup serta denda HK$5 juta mengikut undang-undang negara itu.

Terbaharu semalam, seorang lagi lelaki warga China ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas pemeriksaan kastam menemukan 2.2 kg bahan disyaki kokain dalam bagasi kabinnya.

Ini tangkapan kedua membabitkan kes penyeludupan dadah dari Pulau Pinang ke Hong Kong selepas seorang lelaki warga China berusia 25 tahun  ditahan pada Khamis lalu.

Jabatan Kastam Hong Kong dalam kenyataan semalam memaklumkan, dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai HK$1.3 juta (kira-kira RM700,000) mengikut harga pasaran.

Menurut kenyataan itu, suspek berusia 39 tahun berkenaan tiba di Hong Kong dari Pulau Pinang, sebelum ditahan ketika pemeriksaan kastam dijalankan di lapangan terbang berkenaan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here