ISTORA Senayan sekali lagi menjadi saksi keunggulan wakil Malaysia apabila beregu lelaki negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani muncul juara Indonesia Masters, sekali gus melengkapkan pencapaian cemerlang skuad badminton negara di kejohanan itu, hari ini.
Pasangan ranking kesembilan dunia itu menampilkan aksi penuh disiplin dan kematangan untuk menewaskan gandingan tuan rumah, Raymond Indra–Nikolaus Joaquin 21-19, 21-13 dalam perlawanan akhir yang berlangsung selama 37 minit.
Kejayaan berkenaan bukan sekadar menghadiahkan gelaran ketiga buat Malaysia, malah turut mencipta sejarah apabila buat kali pertama tiga kejuaraan berjaya diraih serentak oleh pemain negara dalam satu kejohanan bertaraf Super 500 atau lebih tinggi dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pada set pertama, kedua-dua pasangan saling berbalas serangan dalam tempo permainan yang tinggi, namun pengalaman jelas memihak kepada Sze Fei–Izzuddin yang enggan memberi ruang kepada lawan untuk mendahului permainan.
Meskipun selesa berada di hadapan 15-11, pasangan negara berdepan kebangkitan wakil Indonesia yang mendapat suntikan semangat daripada sorakan padu penyokong tuan rumah sehingga merapatkan kedudukan kepada 18-19.
Namun, ketenangan dan kecekalan Sze Fei–Izzuddin membolehkan mereka menyerap tekanan sebelum menutup set pertama dengan kemenangan.
Momentum itu diteruskan dalam set kedua apabila pasangan Indonesia tampak goyah selepas ketinggalan 0-6. Kesilapan demi kesilapan lawan dimanfaatkan sepenuhnya oleh gandingan negara untuk mendahului jauh sehingga memperoleh mata penamat 20-6.
Walaupun lawan cuba bangkit pada saat akhir, usaha itu tidak memadai sebelum Nur Izzuddin mengesahkan kejuaraan Malaysia menerusi satu smash padu hasil bola tanggung lawan.
Kejayaan ini menamatkan penantian Sze Fei–Izzuddin untuk kembali bergelar juara selepas kali terakhir menjulang trofi di Terbuka India kira-kira setahun lalu, selain menjadi gelaran Jelajah Dunia kesembilan sepanjang karier mereka.
Kemenangan tersebut juga menyaksikan Malaysia berjaya mempertahankan gelaran beregu lelaki di Indonesia Masters selepas kejohanan sama dimenangi Man Wei Chong–Tee Kai Wun tahun lalu.
Terdahulu, kem negara ceria merayakan gelaran pertama menerusi beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan ia diteruskan dalam acara beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah yang dinobatkan sebagai juara tanpa perlu mengerah keringat selepas pasangan Jepun, Risa Igarashi-Miyu Takahashi menarik diri susulan masalah kesihatan.


