SEORANG ahli perniagaan tempatan kerugian RM1.25 juta selepas terperdaya dengan pelaburan klon didalangi sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai entiti pelaburan antarabangsa, pada Oktober lalu.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman memaklumkan, lelaki berusia 50 tahun itu tertarik menyertai skim pelaburan tersebut selepas melihat iklan di Facebook dan telah menyertai kumpulan WhatsApp.
“Mangsa diminta memuat turun aplikasi pelaburan palsu memaparkan keuntungan atas kertas sehingga mencecah RM16.7 juta.
“Terpengaruh dengan paparan keuntungan itu, mangsa melakukan 23 transaksi berjumlah RM1.25 juta ke beberapa akaun bank tempatan milik pihak ketiga dari Oktober hingga Disember 2025,” menurut JSJK menerusi hantaran Facebook hari ini.
JSJK turut memaklumkan, mangsa berasa ditipu selepas diminta membayar yuran tambahan sebanyak RM4.5 juta untuk mengeluarkan keuntungan.
Semakan mangsa mendapati pelaburan itu tidak mempunyai kaitan dengan firma kewangan dan pelaburan antarabangsa dengan nama hampir sama yang berpangkalan di Hong Kong menyebabkannya membuat laporan polis pada 6 Januari lalu.
Pada hantaran itu, JSJK turut memaparkan nama syarikat atau perniagaan pemilik akaun bank yang dimasukkan ke dalam 10 teratas pangkalan data Semakmule CCID dalam tempoh sebulan sehingga 15 Januari.
Berdasarkan data itu, sebanyak 111 laporan diterima melibatkan syarikat tersebut dengan JMC M Trading Venture dan JMC Top Trading mencatatkan laporan tertinggi, iaitu masing-masing 20 laporan diikuti CVC Grow Star Sdn Bhd (16 kes) dan KGI HK Sdn Bhd (15 kes).
JSJK memaklumkan status pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bukan jaminan keselamatan transaksi kerana akaun syarikat atau perniagaan berdaftar juga berpotensi disalahgunakan sebagai akaun keldai bagi aktiviti penipuan pelaburan.
Orang ramai dinasihatkan membuat semakan di semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan transaksi dan jangan mudah terpedaya dengan iklan pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam tempoh singkat.


