KAKITANGAN Tabung Haji (TH) menerima bonus antara dua hingga 13 bulan gaji dari 2010 hingga 2017, termasuk pembayaran bonus khas pada 2014 melibatkan kos RM74 juta.
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan kepada umum menyatakan amalan bonus ‘terlalu tinggi’ kepada kakitangan patut dihentikan, mengambil kira masalah kesukaran kewangan TH sepanjang tempoh berkenaan.
Ia mengesyorkan agar usaha dilakukan bagi mendapatkan semula bonus dibayar, memandangkan pembayaran tersebut dibuat tanpa mematuhi peraturan ditetapkan.
Di bawah garis panduan kerajaan, pembayaran bonus melebihi dua bulan gaji boleh dipertimbangkan sekiranya sejumlah besar pegawai dan pekerja menunjukkan prestasi cemerlang.
Suruhanjaya itu berkata, proses kelulusan bonus melibatkan tiga peringkat – Lembaga Pengarah TH, menteri hal ehwal agama, dan menteri kewangan.
Namun, ia mendapati kedua-dua menteri secara lazimnya menerima cadangan bonus yang telah dipersetujui pengurusan dan Lembaga Pengarah TH.
Justifikasi yang diberikan bagi pemberian bonus itu adalah berdasarkan keuntungan kukuh TH sepanjang tahun-tahun berkenaan, dengan cadangan pembayaran dihitung mengikut julat antara 1.7% hingga 2.5% daripada keuntungan tahunan.
Bagaimanapun, RCI menyebut pembayaran bonus yang tinggi itu tidak wajar, memandangkan kedudukan kewangan TH antara 2014 hingga 2017 menunjukkan jumlah asetnya lebih rendah, berbanding liabiliti, seperti yang dilaporkan pada penyata kewangan tahunannya dan diakui Jabatan Audit Negara.
Suruhanjaya itu turut bersetuju dengan pandangan undang-undang yang dikemukakan firma guaman Md Tajuddin & Co bahawa pembayaran bonus kepada Lembaga Pengarah TH Properties melanggar peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016.






