SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan Ketua Editor dan Pengarang Dalam Talian China Press berhubung kesilapan terjemahan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen.
MCMC dalam kenyataan berkata, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima terhadap kandungan berkenaan yang disiarkan melalui akaun rasmi China Press di platform media dalam talian dipercayai melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kandungan tersebut khususnya melibatkan tafsiran berhubung kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang disampaikan semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen dan didakwa berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.
“MCMC mendapati penelitian awal menunjukkan kandungan berkenaan membawa maksud berbeza daripada titah sebenar Yang di-Pertuan Agong,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu memberitahu, keadaan tersebut boleh mencetuskan persepsi tidak tepat terhadap Institusi Diraja serta kepentingan nasional.
Sehubungan itu, MCMC berkata, beberapa peralatan dan bahan berkaitan turut disita bagi tujuan siasatan lanjut.
Suruhanjaya itu turut menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang penerbitan melibatkan Agong, khususnya perkara berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
MCMC turut mengingatkan semua organisasi media agar melaksanakan semakan fakta secara teliti serta sentiasa mematuhi prinsip kewartawanan yang bertanggungjawab bagi mengelakkan penyebaran maklumat mengelirukan kepada masyarakat.


