Tiada keperluan umum kekosongan kerusi ADUN Selangor – Speaker

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San memaklumkan tiada keperluan yang berbangkit untuk mengumumkan kekosongan mana-mana kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu.

Menurut beliau, ia susulan semakan menyeluruh dijalankan pihaknya tidak menemukan mana-mana wakil rakyat yang didapati melanggar syarat sah untuk memegang kerusi masing-masing.

“Saya menerima makluman terdapat isu ada ADUN yang mungkin boleh kehilangan kelayakan mereka, saya sudah membuat semakan dan setakat pagi Isnin lalu, tiada sebarang isu sedemikian jadi tidak perlu saya buat apa-apa pengumuman terhadap mana-mana ADUN.

“Semakan sudah dibuat dengan semua pihak, menyeluruh, menyentuh semua sudut dan membabitkan semua ADUN,” katanya dalam sidang media Rumusan Perbahasan DUN Selangor di Lobi Wisma DUN Selangor di Shah Alam hari ini, lapor BH.

Media sebelum ini melaporkan, Weng San akan memanggil seorang ADUN yang didakwa hilang kelayakan bagi mengenal pasti status terkini wakil rakyat itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, selain itu semakan juga akan dilakukan dengan pihak Jabatan Insolvensi Malaysia.

Beliau sekali gus menegaskan sebarang pengumuman kekosongan kerusi DUN adalah di bawah kuasa prerogatif Speaker.

“Saya percaya Speaker akan memanggil beliau, menyemak dengan Insolvensi dan sebagainya supaya pengesahan mengenai kedudukan beliau dapat diputuskan,” kata Amirudin.

Sebelum ini media turut melaporkan spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) di Selangor susulan status kebankrapan seorang ADUN akhirnya terjawab apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membatalkan Perintah Kebankrapan terhadap wakil rakyat itu.

Dokumen perintah mahkamah yang diperlihatkan kepada agensi media itu menunjukkan ADUN terbabit berjaya memperoleh perintah membatalkan Perintah Kebankrapan yang dikenakan terhadapnya selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya di bawah Seksyen 105 Akta Insolvensi 1967.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here