MPV van jenazah dilarikan, sindiket kenderaan curi terbongkar

KEHILANGAN sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) van jenazah milik seorang pengusaha pada 5 Ogos lalu membawa kepada penemuan sebuah yard haram di Kapar, Klang yang dipercayai menjadi lokasi menyimpan dan meleraikan kenderaan curi.

Pemilik kenderaan, Nor Afizan Ayub berkata, van jenazah jenama Mercedes itu dikesan berada di yard berkenaan selepas beliau memuat naik maklumat kehilangan kenderaan terbabit di media sosial.

Menurutnya, beberapa pengguna media sosial memaklumkan van jenazah itu berada di yard berkenaan dan sedang ditawarkan untuk dijual menerusi platform media sosial.

“Selepas mengesahkan maklumat tersebut, saya membuat laporan polis di Balai Polis Bangi pada 7 Ogos lalu.

“Susulan laporan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menjalankan serbuan di yard berkenaan dan menemui banyak kenderaan yang dipercayai dicuri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, serbuan itu turut menyaksikan seorang warga Pakistan ditahan, manakala beberapa individu lain dipercayai melarikan diri.

“Dua kenderaan milik saya turut ditemui dalam keadaan rosak teruk akibat dileraikan,” katanya.

Mengulas kehilangan van jenazah berkenaan, Nor Afizan berkata, beliau bersama pemandu peribadi hadir ke sebuah bengkel pada 5 Ogos lalu bagi memeriksa keadaan kenderaan terbabit.

“Setibanya di sana, kami mendapati van jenazah itu sudah hilang dari kawasan parkir bersama beberapa kenderaan lain.

“Saya kemudian menghubungi depoh simpanan kenderaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menyemak sama ada kenderaan berkenaan ditunda, namun tiada rekod penundaan,” katanya.

Nor Afizan mendakwa, premis terbabit telah beroperasi secara haram sejak pertengahan 2021 sebagai kedai besi buruk tanpa lesen dan dikendalikan warga Pakistan.

Katanya, premis itu dipercayai menawarkan alat ganti kereta terpakai, barangan skrap serta kenderaan yang didakwa ‘lari bank’ untuk dileraikan sebelum alat gantinya dijual semula.

“Premis itu dikendalikan warga Pakistan yang diketuai seorang individu dikenali sebagai Afasar Shah dan dipercayai menyasarkan kenderaan mewah kerana nilai alat gantinya yang tinggi.

“Kenderaan yang diperoleh kemudian dileraikan dan alat ganti diiklankan untuk dijual menerusi pelbagai platform media sosial,” katanya.

Beliau turut mendakwa wujud penglibatan suspek warga tempatan yang bertindak mendapatkan kenderaan sebelum dihantar ke yard berkenaan.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan termasuk merosakkan kenderaan yang diletakkan di tempat awam, sebelum laporan polis didakwa dibuat bagi mengaburi asal usul kenderaan terbabit.

Katanya, kenderaan itu kemudiannya ditunda ke yard berkenaan sebelum alat ganti dileraikan untuk dijual, manakala transaksi pembayaran dipercayai dibuat secara dalam talian.

Nor Afizan berkata, kegiatan itu menimbulkan kebimbangan kerana premis yang menjalankan perniagaan barangan lusuh atau besi buruk perlu mematuhi syarat dan mendapatkan lesen berkaitan daripada pihak berkuasa.

“Perkara ini sudah saya panjangkan kepada pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun saya berharap tindakan lebih tegas dapat diambil terhadap dalang yang terlibat.

“Saya memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan undang-undang terhadap semua pihak yang terbabit dalam kegiatan ini,” katanya.

Beliau berharap tindakan segera dapat diambil bagi membanteras kegiatan yard haram serta mengelakkan lebih banyak pemilik kenderaan menjadi mangsa.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here