ACP Annas dilantik Ketua Polis Daerah Wangsa Maju baharu

PENGARAH Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Asisten Komisioner Annas Sulaiman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu hari ini.

Annas menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus di Anjung Srikandi, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melibatkan penandatanganan dan pertukaran dokumen antara Annas dan Mohamad Lazim.

Fadil berkata, IPK Kuala Lumpur merakamkan penghargaan kepada Mohamad Lazim atas khidmat bakti sepanjang memikul amanah sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan Mohamad Lazim, pelbagai usaha, inisiatif dan pendekatan telah dilaksanakan dalam memperkukuh keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat.

“Sepanjang kepimpinan beliau, pelbagai kejayaan telah dicapai khususnya dalam aspek operasi, tangkapan dan pencegahan jenayah,” katanya.

Fadil berkata, kejayaan itu jelas membuktikan kepimpinan yang berteraskan integriti, komitmen tinggi dan rasa tanggungjawab yang utuh dalam memikul amanah sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju.

“Sepanjang tempoh setahun 11 bulan 26 hari, iaitu hampir dua tahun perkhidmatan Mohamad Lazim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, beliau telah menunjukkan prestasi kepimpinan yang cemerlang serta nilai integriti yang tinggi,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kepakaran dalam bidang jenayah siber, pelantikan Mohamad Lazim sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik), JSJK Bukit Aman adalah bertepatan.

“Saya percaya pucuk pimpinan pasukan telah membuat pertimbangan yang tepat dalam menempatkan Mohamad Lazim di jawatan tersebut, selaras dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki,” katanya.

Fadil berkata, tugas sebagai Ketua Polis Daerah bukanlah satu tanggungjawab yang ringan, apatah lagi dalam mendepani cabaran semasa serta trend jenayah yang semakin kompleks.

“Namun, dengan kepimpinan yang mantap serta semangat ‘esprit de corps’ dalam kalangan pegawai dan anggota, saya yakin setiap cabaran mampu diharungi dengan jayanya.

“Sehubungan itu, saya menyeru seluruh warga IPD Wangsa Maju untuk memberikan sokongan kepada Annas selaku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu dalam meneruskan agenda kecemerlangan pasukan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img