Tiap tahun tampung kerajaan…Petronas akan jadi lembaga zakat bukan syarikat minyak – Hamzah

Pembangkang mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa cenderung dan terlalu bergantung kepada syarikat milik negara seperti Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Khazanah Nasional Berhad untuk menampung keperluan fiskal.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan tidak boleh menyembelih “angsa yang sedang mengeluarkan telur emas untuk rakyat” yang sepatutnya melabur demi masa depan negara.

Beliau menegaskan, hasil negara mesti datang daripada aktiviti ekonomi yang sebenar, pelaburan inovasi dan produktiviti bukan daripada memerah syarikat milik negara.

“Bagi tahun 2026 sahaja, kerajaan dijangka menerima RM20 bilion dalam bentuk dividen daripada Petronas. Selain itu, Petronas juga membiayai projek Bandar Madani sebanyak RM4 bilion dan RM12 bilion lagi bagi transaksi Bandar Malaysia.

“Persoalannya, sampai bila kita mahu bergantung begini? Ini bukan sumber hasil yang mampan, hanya suntikan sementara untuk menutup defisit.

“Kalau setiap tahun hasil Petronas digunakan untuk menampung kerajaan, tidak lama lagi Petronas akan menjadi seperti lembaga zakat kepada kerajaan, bukan lagi syarikat minyak negara,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini lapor Sinar Harian.

Hamzah turut mempersoalkan keputusan kerajaan menggunakan RM600 juta daripada Khazanah Nasional untuk membaik pulih bangunan bersejarah Carcosa Seri Negara, yang menurutnya tidak wajar dilakukan.

“Saya hairan, kalau nak bangunkan Carcosa, kenapa guna duit Khazanah? Rugi… dana ini sepatutnya mempunyai banyak peluang pelaburan yang boleh memberikan pulangan lebih baik,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan agar bersikap jujur dalam memberi tafsiran terhadap perbelanjaan awam.

“RM470 bilion untuk Belanjawan 2026, tetapi perbelanjaan sebenar yang keluar daripada poket kerajaan hanya berjumlah RM420.2 bilion, manakala selebihnya RM50.8 bilion dikatakan datang daripada dana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau GLIC (Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan), badan berkanun persekutuan dan syarikat persekutuan diperbadankan.

“Persoalannya, adakah RM50.8 bilion ini boleh ditakrifkan sebagai perbelanjaan awam sedangkan ia tidak dicatat dalam Akaun Hasil Disatukan?” soalnya.

Beliau menambah, dana tersebut juga tidak termasuk dalam jumlah hutang rasmi kerajaan.

“Memandangkan dana tersebut tidak datang daripada hasil kerajaan, adakah ia merupakan pelaburan sedia ada yang dipaksa untuk diguna semula bagi projek kerajaan?

“…atau adakah ia pinjaman baharu yang akan menambah tanggungan dan liabiliti luar jangka kerajaan?” soalnya lagi.

Tambah beliau, belanjawan yang dibentangkan harus berpaksikan kejujuran dan keberanian untuk membetulkan kesilapan, bukan menutup permasalahan pokok dengan perkataan dan angka persembahan.

“PN (Perikatan Nasional) percaya sebelum kita mahu membina sesuatu yang lebih baik, kita mesti berani membina semula apa yang pincang.

“Sebelum kita mampu menambahkan hasil, kita mesti menyalakan semula api keyakinan… sebelum negara dapat mengecapi kemajuan, kesempitan hidup rakyat mesti dilegakan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img