‘Belanjawan alternatif’: PN tawarkan pendidikan percuma peringkat pra-siswazah, Bantuan Prihatin Nasional sehingga RM6,000 setahun

Perikatan Nasional akan menawarkan pendidikan percuma di peringkat pra-siswazah kepada semua golongan rentan dan yang memerlukan, terutamanya penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Selain itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Perikatan Nasional juga akan memastikan mana-mana pelajar yang layak mengikut merit akan diberikan biasiswa bagi menyempurnakan pengajian ijazah pertama dalam bidang strategik.

‘’Pada masa yang sama, autonomi kepada institute pengajian tinggi awam akan diperluaskan melalui Tabung  Endowment khususnya membabitkan research university,’’ katanya ketika membahas ucapan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah berkata, daripada apa yang dibentangkan kerajaan, Perikatan Nasional yakin bahawa kedudukan fiskal negara mempunyai keupayaan untuk kami memperkenalkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah yang memerlukan.

Mengenai TVET, beliau berkata, peruntukan TVET untuk 2026 naik kepada RM7.9 bilion tetapi integrasi sebenar TVET, di antara industri dan institusi latihan, – serta strategi untuk menjadikan TVET sebagai arus perdana pembangunan ekonomi, – masih kabur.

‘’Oleh itu Perikatan Nasional mencadangkan menerusi program tersebut,  mahasiswa diberi ruang untuk terus menjejak kaki ke dunia industri sejak di pengajian tinggi, – agar mereka tidak lagi melangkah dengan ketidakpastian, sebaliknya mereka melangkah dengan keyakinan yang berpaksikan kemahiran sebenar,’’ katanya.

Beliau berkata, wanita juga harus diangkat sebagai penggiat utama dalam agenda TVET ini.

‘’TVET juga perlu diolah menjadi transformasi sosial dengan membuka ruang kepada golongan berpengalaman termasuk mereka yang bersara awal seperti pesara tentera sebagai rakan strategik, bagi mengarusperdanakan program mengasah dan meningkatkan semula kemahiran melalui modul TVET.

Dalam perbahasan itu juga, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, Perikatan Nasional berpendapat perlu mengkaji semula keseluruhan dasar percukaian nasional.

“Bukan sekadar ubah kadar SST atau tambah levi di sana-sini, tetapi sebaliknya memperkenalkan sistem cukai baharu yang komprehensif, adil, telus, dan menggalakkan pematuhan sukarela,’’ katanya.

Beliau berkata, Perikatan Nasional menegaskan bahawa hasil negara mesti datang daripada aktiviti ekonomi sebenar – pelaburan, inovasi, dan produktiviti – bukan daripada memerah syarikat milik negara.

‘’Perikatan Nasional berpendirian jelas: Ekonomi negara tidak boleh diselamatkan hanya dengan agihan – kita mesti  membesarkan kek ekonomi, mencipta peluang dan menambah hasil supaya setiap rakyat mendapat bahagiannya dengan adil,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img