KERJASAMA dan diplomasi pertahanan di peringkat rantau ASEAN amat penting untuk menguruskan cabaran di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perhatian serius wajar diberikan kepada isu tersebut meskipun kerajaan berpendirian untuk tidak mencampuri dasar pertahanan dan keselamatan negara lain.
”Secara asasnya, kerajaan berpendirian untuk tidak mencampuri dasar pertahanan dan keselamatan negara lain serta menghormati hak setiap negara berdaulat untuk menentukan dasar pertahanannya.
“Namun begitu, ini sama sekali tidak bermakna kita tidak memberi perhatian serius dan membuat persediaan yang sewajarnya, apatah lagi usaha mengekalkan kestabilan dan keselamatan di Laut China Selatan, terutamanya merupakan sesuatu yang rumit dan semakin kompleks bagi negara kita.
“Langkah-langkah yang kita ambil dilakukan di sekurang-kurangnya tiga peringkat, iaitu unilateral, bilateral dan multilateral. Bagi langkah yang bersifat unilateral, iaitu persediaan di peringkat Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, kita memperkukuh kesiagaan Angkatan Tentera kita melalui empat pendekatan utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, empat pendekatan utama tersebut meliputi pemodenan aset dan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia secara berterusan; memantapkan latihan dan pembangunan kapasiti anggota ATM; memperkasa dan memperkuat kehadiran negara.
“Memperkasa dan memperkuat kehadiran negara (show of presence) dibuat melalui rondaan dan pemantauan berterusan di semua perairan negara, sama ada menerusi operasi tunggal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), operasi bersepadu TLDM bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta operasi lain berskala bersama agensi penguatkuasaan maritim Malaysia.
“Selain itu, membangunkan daya tahan dan daya rintang masyarakat. Keempat-empat pendekatan ini secara bersama-sama membentuk upaya negara untuk mencegah ancaman secara kredibel dan berwibawa,’’ katanya.
Bagaimanapun kata beliau, Malaysia sangat sedar bahawa tidak ada negara yang boleh bersendirian dalam berhadapan dengan cabaran di rantau Asia Pasifik, terutamanya di Laut China Selatan.
‘’ Maka, kerjasama dan diplomasi pertahanan di peringkat rantau ASEAN dan pentas global sangat penting, khususnya sebagai langkah menguruskan cabaran di Laut China Selatan,” katanya lagi.
Mohamed Khaled memberitahu, Malaysia akan memperluas dan mengukuhkan diplomasi pertahanan melalui kerjasama bilateral dengan negara-negara yang boleh dipercayai untuk berhadapan cabaran tersebut.
“Sebelum itu, adalah penting untuk kita memahami bahawa cabaran di Laut China Selatan hadir sekurang-kurangnya dalam dua bentuk. Pertama, pertikaian tuntutan bertindih antara negara anggota ASEAN seperti Malaysia dan Vietnam serta Malaysia dan Filipina, dan tuntutan bertindih negara China ke atas perairan sesetengah negara ASEAN, termasuklah Malaysia.
“Kedua, keinginan dan persaingan kuasa-kuasa besar untuk hadir dan mendominasi perairan rantau ini. Peningkatan kehadiran, terutamanya kedua-dua kuasa besar, Amerika Syarikat dan China, menambah risiko salah tafsir yang boleh merebak menjadi konflik yang lebih besar.
“Bagi berhadapan dengan cabaran-cabaran ini, antara langkah yang kita tumpukan termasuklah; pertama, memperluas dan mengukuhkan diplomasi pertahanan melalui kerjasama bilateral dengan negara-negara sahabat yang diyakini dan dipercayai seperti Jepun, Thailand, Australia, Jerman dan banyak negara lain.
“Fokus kerjasama ini adalah perkongsian maklumat, pemindahan kepakaran, pembangunan kapasiti serta pelaksanaan eksesais dan operasi berjadual bagi meningkatkan ‘maritime domain awareness’,” katanya lagi.
Selain itu, kata beliau Malaysia juga akan mengukuhkan kerjasama dan diplomasi pertahanan secara multilateral. Ini termasuklah melalui platform ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) yang melibatkan semua menteri pertahanan ASEAN.





