![]()
TIDAK sabar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi mendorong seorang warga emas berusia 88 tahun bangun seawal jam 3 pagi sebelum berbasikal ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong, Melaka hari ini.
Vong Fook Hoi atau lebih dikenali sebagai Uncle Wong berkata, dia terlalu teruja untuk keluar mengundi sehingga tidak dapat tidur lena pada malam sebelumnya.
“Saya bangun jam 3 pagi kerana tidak sabar mahu mengundi. Malam tadi pun saya tidak dapat tidur.
“Saya datang ke pusat mengundi ini dengan menaiki basikal. Memang ke mana-mana saya pergi, saya naik basikal,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.
Menurutnya, dia mengambil masa agak lama untuk keluar mengundi kali ini kerana perlu menunggu isterinya sebelum mereka bergerak secara berasingan ke pusat mengundi.
Mengulas mengenai tanggungjawab sebagai pengundi, Uncle Wong berkata, anak-anaknya turut pulang dari Singapura dan Kuala Lumpur bagi menunaikan tanggungjawab sama.
“Dah pesan siap. Anak-anak saya pun sudah besar, mereka tahu apa yang perlu dibuat,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem yang juga penyandang kerusi DUN Duyong, berdepan saingan Poo Long Suan daripada Pakatan Harapan (PH).
Berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 26,528 pengundi berdaftar di DUN Duyong, meningkat sebanyak 8,291 berbanding 18,237 pengundi pada PRN 2021.





