![]()
KEHADIRAN pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong, Melaka bermula seawal jam 7 pagi dengan saluran pertama merekodkan jumlah keluar mengundi tertinggi dalam tempoh sejam pertama.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem berkata, berdasarkan maklumat diterimanya, kira-kira 70 pengundi sudah menunaikan tanggungjawab masing-masing di saluran berkenaan setakat jam 8 pagi.
Katanya, lapan lagi saluran di pusat mengundi itu masing-masing merekodkan sekurang-kurangnya 44 pengundi dalam tempoh sama.

“Alhamdulillah saya dimaklumkan seawal tujuh pagi orang dah mula beratur dan kita terima gambar, saya terima gambar tadi 7.30 pagi sudah ramai pengundi hadir.
“Daripada sembilan saluran mengundi di SK Seri Duyong, jumlah pengundi yang keluar dalam tempoh satu jam pertama masing-masing mencatatkan sekurang-kurangnya 44 orang, manakala saluran satu merekodkan kehadiran tertinggi iaitu kira-kira 70 orang,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di sekolah itu hari ini.
Mohd Noor Helmy yang tiba di pusat mengundi kira-kira jam 8.35 pagi turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk sebelum menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kira-kira jam 9 pagi.
Mengulas perkembangan seterusnya, beliau berkata, pihaknya akan meninjau beberapa pusat mengundi bagi mengikuti perjalanan proses pengundian, selain melihat proses undi pos kira-kira jam 3 petang.
Beliau turut menggesa pengundi supaya keluar mengundi lebih awal berikutan ramalan hujan pada sebelah petang yang dikhuatiri menjejaskan kehadiran mereka.
“Kita pun menyeru semua orang keluar mengundi seawal pagi memandangkan ramalan dengan cuaca hujan ni waktu petang, jadi kita takut bila hujan ni sikit-sikit akan mengganggu kehadiran pengundian. Jadi sementara awal ni boleh datang,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau pola kehadiran pengundi dari semasa ke semasa.
Terdahulu, calon Pakatan Harapan (PH), Poo Long Suan turut tiba di pusat mengundi sama kira-kira jam 8 pagi, manakala calon BN bagi DUN Gadek, S Nadarajah tiba kira-kira jam 9 pagi.
Untuk rekod, Mohd Noor Helmy yang juga penyandang kerusi DUN Duyong berdepan saingan Poo Long Suan pada PRN Melaka kali ini.
Seramai 26,528 pengundi berdaftar direkodkan di DUN Duyong berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), meningkat sebanyak 8,291 berbanding 18,237 pengundi pada PRN 2021.





