Tiga didakwa bersubahat tuntutan palsu insentif PERKESO

Tiga individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas pertuduhan bersubahat membuat tuntutan palsu insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Tertuduh, M. S. Gunaseelan, 45; S. Theen Malar, 45; dan A. S. Shisman, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.

Mengikut pertuduhan, Gunaseelan yang merupakan pemilik sebuah perniagaan didakwa mengemukakan tuntutan palsu bagi mendapatkan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 menggunakan nama syarikat miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Sementara itu, isterinya, Theen Malar dan Shisman didakwa bersubahat melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 18 akta sama yang turut boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 9.07 malam di sebuah premis di Jalan Persiaran 1, Taman Senangin, Lenggeng pada 11 Mac 2024.

Jika disabitkan kesalahan, semua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syairah Aqilah Khalil yang menawarkan jaminan RM15,000 terhadap setiap tertuduh.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tidak mampu.

Mahkamah kemudian membenarkan Gunaseelan dan Shisman diikat jamin RM12,000 setiap seorang, manakala Theen Malar dibenarkan diikat jamin RM10,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya semua tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Seremban sekali setiap bulan serta menetapkan 7 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img