NAIB Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini menyindir sejarah kerjasama antara dua parti Melayu yang pernah bergabung sebelum berpecah, namun kini dilihat berpotensi kembali bekerjasama.
Menurut Menteri Besar Selangor itu, usaha penyatuan antara parti Melayu bukan perkara baharu kerana ia pernah berlaku pada era 1970-an dan 1990-an.
“Kedua-duanya pernah berkahwin. Tahun 70-an dan tahun 90-an, mereka pernah berpakat dan bergabung. Kahwin dan kemudian bercerai.
“Ini tiga (kali berkahwin), takkan bercerai lagi, terserah,” katanya pada ketika berucap pada ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR 2026 di Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Meski pun tidak menamakan kedua-dua parti tersebut, kenyataan Amirudin itu dipercayai merujuk kepada sejarah hubungan politik UMNO dan Pas yang pernah bekerjasama sebelum berpisah.
Kedua-duanya dijangka bekerjasama semula susulan persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang bermula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, walaupun perkembangan politik semasa mungkin kelihatan sukar, PKR mampu menghadapi cabaran itu dengan kekuatan perjuangan reformasi.
Katanya, parti itu perlu terus memperjuangkan politik yang menjamin keadilan kepada semua tanpa mengira kaum dan agama.
“Walaupun nampak sukar, walaupun nampak mustahil, saya yakin kita boleh lakukan kerana apa yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ‘I am a fighter’.
“Dan hari ini mari kita sambung seruan ini, ‘we all are fighters’,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin mengingatkan anggota PKR supaya tidak terperangkap dalam politik berasaskan kaum sehingga menyukarkan usaha menyatukan rakyat.
Beliau berkata, perjuangan reformasi perlu diteruskan dengan memperkukuh jentera parti serta merentasi tembok perkauman, bukan hanya ketika pilihan raya.





