Tindakan Exco N.Sembilan tidak berperlembagaan, tiada kesan undang-undang – Peguam kepada Tuanku Muhriz

PEGUAM Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mendakwa Kerajaan Negeri Sembilan melakukan ‘rampasan kuasa’ dengan mengisytiharkan baginda dilucutkan jawatan Yang Dipertuan Besar dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baharu.

Dalam surat kepada pihak terlibat, peguam daripada Halim & Ismail berkata anak guam mereka ‘terkejut’ dengan pengumuman ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) itu dan menegaskan bahawa badan berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa, kuasa atau autoriti untuk membuat pengisytiharan sedemikian.

Mereka menyifatkan pengumuman itu sebagai tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.

“Anak guam kami berpandangan bahawa tindakan anda mengeluarkan pengumuman itu bertujuan menggugat kuasa eksekutif Tuanku Muhriz… dan seterusnya bertujuan menggulingkan serta menurunkan takhta,” kata peguam berkenaan lapor FMT.

Mereka turut menyifatkan tindakan itu sebagai ‘menyamai rampasan kuasa dan perbuatan menderhaka’ yang boleh dihukum mengikut Kanun Keseksaan serta undang-undang lain.

Peguam itu juga mendakwa pengumuman berkenaan melanggar perintah injunksi interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 5 Jun.

Mereka berkata perintah berkenaan antara sebab mahkamah memberikan kebenaran pada 8 Julai untuk prosiding menghina mahkamah dimulakan.

“Anak guam kami bercadang memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap anda atas pelanggaran perintah injunksi seperti dinyatakan di atas,” kata mereka.

Surat itu dikeluarkan sehari selepas Exco Negeri Sembilan mengisytiharkan bahawa proklamasi melucutkan jawatan Tuanku Muhriz adalah sah dan Tuanku Nadzaruddin ialah Yang Dipertuan Besar yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

Exco berkata proklamasi bertarikh 19 April untuk melucutkan jawatan Tuanku Muhriz mengikut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan telah ditandatangani dan dimeterai oleh Undang Yang Empat yang sah.

Ia turut berkata proklamasi itu ditandatangani Ismail pada 3 Ogos, sekali gus melengkapkan proses mengikut Perkara 10(2). Peguam itu turut mempersoalkan sama ada Ismail menyokong kenyataan terbaharu Exco berkenaan, sambil menyatakan ia hanya ditandatangani atas nama ‘barisan ahli Exco Negeri Sembilan’.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here