ANALISIS
PRESIDEN Amerika Syarikat Donalid Trump ternyata begitu kecewa apabila bandar raya New York tempat kelahiran ‘jatuh’ ke tangan Demokrat apabila Zohran Mamdani menang jawatan Datuk Bandar dalam pilihan raya kelmarin.
Malam tadi majlis meraikan ulangtahun kemenangan beliau ke ats Kamala Haris bagi jawatan Presiden AS bagaikan tidak bermakna apabila Trump ‘terus meracau’ menyerang Mamdani. Beliau menganggap kejayaan Mamdani telah menyebabkan AS kehilangan ‘kedaulatan’ apabila rakyat New York memilih lelaki berusia 34 tahun itu.
Lebih teruk lagi, walaupun Trump mengetahui (amat mengetahui) Mamdani beragama Islam, Presiden AS itu dengan celuparnya mendakwa New York akan menjadi ‘komunis’ dan berharap bandar Florida ‘ “akan menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang melarikan diri daripada komunisme di New York.”
“Pilihan yang dihadapi rakyat Amerika amat jelas: kita harus memilih antara komunisme dan akal waras,” katanya, sambil menggambarkan pilihan itu juga sebagai perbezaan antara “mimpi ngeri ekonomi” dan “keajaiban ekonomi.”
Ucapan itu disampaikan sempena ulang tahun pertama kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden menentang calon Demokrat, Kamala Harris.
“Kita telah menyelamatkan ekonomi kita, mengembalikan kebebasan kita, dan bersama-sama menyelamatkan negara kita pada malam yang luar biasa setahun lalu,” kata Trump kepada penyokongnya.
Hakikatnya Trump yang kini berusia 79 tahun itulah ‘mimpi ngeri’ kepada AS bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga sosial, politik dan kemanusiaan.
Trump sebenarnya tidak dapat menerima hakikat bahawa Mamdani akan mencapai kemenangan setelah beliau, Calon Republikan Andrew Cuomo dan bekas kawan baik Trump yang juga Bilionair, Elon Musk memburu serangan habis-habisan ke atas Mamdani dalam tempoh 48 jam sebelum pengundian.
“Jika ada mana-mana bandar yang mampu menunjukkan kepada dunia bagaimana mengalahkan Donald Trump, ia adalah bandar yang pernah melahirkannya,” kata Mamdani dalam ucapan kemenangannya kelmarin.

Kemenangan Mamdani, bersama kejayaan Parti Demokrat dalam pilihan raya gabenor di Virginia dan New Jersey, dilihat sebagai petanda perubahan suasana politik menjelang pilihan raya separuh penggal tahun depan, yang bakal menentukan kawalan terhadap Kongres.
Dalam satu lagi kemenangan penting buat Demokrat, pengundi di California meluluskan satu usul bagi menanda semula sempadan kawasan pilihan raya bagi menghalang usaha gerrymandering atau persempadanan tidak adil yang diarahkan oleh Trump di negeri-negeri lain.
Kemenangan Mamdani juga memberi isyarat kepada Trump bahawa sebagai Presiden AS, beliau boleh melakukan apa sahaja berkaitan dasar luar negara AS seperti mana dalam isu Gaza apabila beliau hanya berusaha menghentikan serangan Israel ke atas bumi Palestin selepas Zionis sudah pun membunuh hampir 70,000 rakyat Palestin dan menghancurkan Gaza.
Tetapi di negara sendiri, bandar kelahirannya pun tidak mahu memberi apa-apa kejayaan kepada Trump disebabkan sikap beliau bijak bersandiwara sebab itulah, Trump dianggap Presiden AS paling teruk dalam sejarah.
Agak melucukan, mungkin kerana tidak dapat menerima hakikat kemenangan Mamdani, akaun Twitter rasmi Rumah Putih (White House) menyebarkan poster ‘Trump Is Your President’ – sebagai ingatan kepada Mamdani dan penyokongnya bahawa Trump adalah Presiden mereka.
Bagaimanapun hantar yang dianggap kebudak-budakan itu telah dipadam selepas mendapat kecaman hebat daripada orang ramai. Begitulah keadaan Rumah Putih di bawah Trump.



