Selangor ekonomi hebat, pembangunan cemerlang tapi masalah banjir tak selesai-selesai

DARI tingkat 15 sebuah kondominium di Shah Alam, penulis menyaksikan ribuan kenderaan tersangkut perjalanan mereka ketika pulang bekerja di persimpangan menuju Setia Alam, Bukit Jelutong dan  Lebuhraya Guthrie berikutan banjir kilat.

Pada masa sama, derita penduduk Kampung Melayu Subang berterusan akibat bencana itu sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim turun padang melihat situasi dan melawat mangsa-mangsa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat kawasan banjir di Kampung Melayu Subang, semalam.

Perdana Menteri dengan tegas mahukan pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh dan Sungai Damansara bernilai hampir RM700 juta dipercepatkan susulan kejadian banjir berulang yang menjejaskan penduduk di situ dan kawasan sekitarnya..

Kata beliau, projek yang sudah diluluskan Kerajaan Persekutuan itu perlu disegerakan menerusi kerja melebarkan dan mendalamkan sungai serta pembinaan kolam takungan tambahan bagi mengurangkan risiko kejadian banjir berulang.

“Masalah kita adalah nak percepatkan sahaja. Sebaik sahaja ada kerja seperti mengorek sungai yang kontraknya sudah ada, saya sudah minta dipercepatkan. Bagi saya, yang membimbangkan ialah kawasan ini sudah dua tiga kali banjir, jadi perlu ada pelebaran sungai, kolam tambahan dan projek tebatan banjir keseluruhannya,” katanya.

Soalnya apakah kekangan yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam mengatasi masalah banjir ini. Selangor sebuah negeri yang hebat, ekonominya cemerlang, pembangunan mencanak naik sehingga hutan mampu digondolkan sekelip mata dan bukit diratakan oleh swasta bagi tujuan itu tetapi masalah banjir tidak juga selesai-selesai.

Sedangkan akibat projek pembangunan yang mencanak dan ada yang menyifatkan ‘sudah keterlaluan’ inilah juga menjadi punca bencana itu sehinggakan ada orang kata, ‘air banjir pun dah warna teh tarik”!

Apapun apabila melihat dari kejauhan, ribuan orang yang dalam kepenatan selepas mencari rezeki tersangkut di atas jalan raya kerana banjir, penulis amat simpati. Bayangkan berjam-jam mereka berada di situ menanti limpahan air surut untuk pulang bertemu keluarga yang resah menanti atau menuju sesuatu destinasi  dengan tujuan masing-masing.

Sampai bila derita ini akan berakhir? Penulis masih ingat keprihatinan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung masalah banjir itu dengan bertitah secara tegas pada 20 April 2026 menzahirkan dukacita terhadap kegagalan berterusan kerajaan negeri menangani isu banjir yang masih berlarutan walaupun pelbagai nasihat telah diberikan sebelum ini.

Baginda bertitah, isu banjir bukan perkara baharu malah telah berpuluh kali ditegaskan agar diselesaikan segera, termasuk mencadangkan supaya kerajaan negeri merujuk kepakaran luar seperti dari Belanda bagi mendapatkan kaedah terbaik.

Bagaimanapun titah baginda, nasihat tersebut seolah-olah tidak dipedulikan dan diibaratkan seperti ‘mencurah air ke daun keladi’ apabila masalah itu masih berlaku sehingga kini.

“Setiap tahun diperuntukkan bajet bagi mengatasi banjir, namun hasilnya masih tidak memuaskan dan rakyat terus terkesan khususnya di kawasan perumahan di beberapa daerah,” titah Sultan Selangor.

Walaupun penulis percaya bahawa Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin Shari sedang melakukan tindakan bagi mengatasi masalah berkenaan namun ia dilihat masih mengecewakan terutamanya melibatkan kawasan  menghubungkan Bukit Jelutong, Setia Alam Klang, Seksyen 13, Lebuh raya Guthrie dan Kampung Subang serta sekitarnya.

Itu belum lagi termasuk kawasan-kawasan lain di negeri. Justeru diharapkan kerajaan negeri benar-benar memberi tumpuan sepenuhnya kepada masalah banjir ini.

Kita bukannya mahu mendengar sekadar  jawapan kepada kritikan, membentangkan alasan setiap kali kejadian atau menabur harapan tentang penyelesaian masa depan…apa yang penduduk Selangor mahukan hasil dan penyelesaian supaya derita tidak berterusan setiap kali musim hujan! Tolonglah…



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here