Tunggakan RM314 juta jadi asas tindakan terhadap MyEG dan Zetrix AI – Anthony

TUNGGAKAN hasil kerajaan berjumlah RM314 juta menjadi asas kepada keputusan menggantung perkhidmatan My E.G Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Bhd, bukannya disebabkan sebarang hubungan syarikat berkenaan dengan parti politik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan tidak mengambil kira latar belakang atau hubungan politik sesebuah syarikat ketika menentukan sesuatu tindakan.

Sebaliknya, kata beliau, keputusan dibuat berdasarkan fakta dan pematuhan terhadap tanggungjawab syarikat kepada kerajaan.

“Yang penting ialah fakta. Faktanya ada tunggakan dan ada obligasi kepada kerajaan yang tidak dipenuhi. Jadi tindakan perlu diambil,” katanya dalam sidang media berhubung penjelasan penggantungan perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut JPJ di Kementerian Pengangkutan (MoT) di Putrajaya hari ini, lapor BH.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan yang mengaitkan syarikat di bawah kumpulan MyEG itu dengan parti politik tertentu.

Anthony sebaliknya menegaskan prinsip kerajaan adalah untuk memastikan semua syarikat serta ejen yang terlibat dalam urusan kerajaan diberikan layanan yang sama tanpa mengira latar belakang atau pihak yang mempunyai hubungan dengan mereka.

“Saya tidak mahu mengaitkan mana-mana syarikat dengan mana-mana parti politik atau apa-apa sekalipun.

“Saya melayan setiap syarikat dan setiap ejen secara sama rata. Mereka berkaitan dengan pihak siapa-siapa, itu tidak relevan kepada saya,” katanya.

Sebelum ini, terdapat laporan media mendakwa MyEG mempunyai hutang melebihi RM200 juta kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan kutipan pembaharuan cukai jalan, lesen memandu dan saman trafik.

Laporan itu turut mendakwa dokumen rasmi menunjukkan Zetrix tidak menyerahkan kutipan berkenaan sejak kontrak tiga tahun bersama JPJ bermula pada Mei 2023.

Susulan isu berkenaan, JPJ mengambil tindakan menggantung perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI sebagai ejen kutipan jabatan tersebut berkuat kuasa hari ini.

Dalam perkembangan sama, Anthony turut menolak desakan supaya beliau meletakkan jawatan susulan keputusan kerajaan menggantung perkhidmatan kedua-dua syarikat berkenaan.

Beliau menyifatkan desakan tersebut sebagai tidak munasabah kerana syarikat yang mempunyai tunggakan ialah pihak yang dikenakan tindakan, bukannya kementerian.

“Dalam media sosial pula, apabila tindakan diambil, saya pun hairan. ‘Ceplos-ceplos’ minta saya letak jawatan pula.

“Yang tak bayar, syarikat, yang diminta diambil tindakan ialah menteri. Apa punya logik ini?,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here