SEORANG lelaki dipercayai memandu secara melawan arus di susur masuk Lebuhraya Maju Expressway (MEX) di Lingkaran Putrajaya, selepas tersasar laluan ketika menuju ke Puchong.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya mengesan kejadian itu selepas video berdurasi 25 saat yang memaparkan kenderaan berkenaan tular dalam media sosial semalam.
Menurutnya, rakaman yang dimuat naik di Facebook itu menunjukkan sebuah Perodua Myvi berwarna merah dipandu melawan arus di laluan berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi.
“Susulan video tular itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bertindak mengesan pemandu dan kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhizam berkata, usaha mengesan kenderaan tersebut berhasil apabila pemandu dan kereta Myvi berkenaan ditemukan sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang untuk siasatan lanjut.
Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan sebelum itu dalam perjalanan dari Putrajaya menuju Puchong sebelum dipercayai tersilap laluan ke arah Plaza Tol MEX (Putrajaya).
Katanya, pemandu kemudian membuat keputusan untuk berpatah balik dan menggunakan laluan berlawanan arah bagi mendapatkan semula laluan menuju Puchong.
“Semasa melalui laluan tersebut, pemandu memasang lampu kecemasan dan memandu secara perlahan sejauh kira-kira 30 meter sebelum memasuki laluan menuju ke arah Puchong,” katanya.
Norhizam berkata, pemandu berusia lingkungan 40-an itu merupakan lelaki tempatan dan bekerja sebagai penjawat awam.
Beliau berkata, keterangan lelaki berkenaan telah dirakam, manakala semakan mendapati lesen memandunya masih sah.
Dalam pada itu, polis mengesahkan kejadian berkenaan tidak menyebabkan kemalangan atau kecederaan kepada pengguna jalan raya lain.
Kes ini, katanya disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





