WAKIL calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan maut selepas kenderaan dinaikinya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Pondok Batang, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan J. Samivel, 62, pada jam 12.45 tengah hari.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Nyalas menghala ke Asahan, manakala lori bergerak dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai hendak membelok ke kanan untuk ke bilik gerakan PH DUN Asahan sebelum lori yang bergerak lurus di laluan sahnya gagal mengelak lalu melanggar kenderaan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu lori berusia 26 tahun dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Jasin untuk menjalani ujian saringan air kencing.
Samivel merupakan wakil calon PH, P. Denesh bagi PRN Melaka ke-16 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.





