Kerajaan tanggung insentif RM15 juta sebulan kekalkan harga minyak masak botol

KERAJAAN memperuntukkan kira-kira RM15 juta sebulan bagi mengekalkan harga siling minyak masak sawit tulen dalam botol, meskipun harga minyak sawit mentah (CPO) dunia terus meningkat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak (MKHMM) yang diluluskan Jemaah Menteri pada 6 November lalu.

DATUK Armizan Mohd Ali

Menerusi mekanisme berkenaan, kata beliau, harga siling minyak masak botol dikekalkan pada RM6.90 bagi pek satu kilogram (kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg).

Beliau berkata, keputusan itu mengambil kira trend peningkatan harga CPO dunia sejak Jun 2025 yang memberi tekanan kos kepada industri pengilangan, sehingga menyebabkan beberapa syarikat menghentikan pengeluaran kerana tidak mampu mengekalkan harga jualan pada paras siling ditetapkan.

“Dengan mengambil kira harga purata CPO dunia pada Oktober 2026 sebanyak RM4,400 satu tan, harga minyak masak botol 5kg dianggarkan meningkat kepada RM34 sekiranya langkah intervensi ini tidak dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan berkata, pelaksanaan MKHMM bertujuan memastikan bekalan minyak masak botol tidak terganggu, selain mengelakkan kenaikan harga yang boleh menambah beban perbelanjaan pengguna.

Menurutnya, langkah itu turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengurangkan kesan kenaikan harga bekalan global terhadap rakyat, termasuk melalui penambahan subsidi petrol RON95 dan diesel.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan sedang memproses permohonan pengambilan pekerja asing bagi subsektor restoran berdasarkan siling kuota sebanyak 15,000 pekerja yang diumumkan pada 5 Ogos lalu.

Katanya, proses pertimbangan permohonan itu dipercepatkan susulan keputusan Jemaah Menteri pada Ogos lalu bagi membantu pengusaha restoran yang berdepan kesukaran mendapatkan tenaga kerja.

Bagaimanapun, beliau menegaskan setiap permohonan masih tertakluk kepada syarat serta kriteria kelayakan yang ditetapkan kerajaan.

Pada masa sama, Armizan berkata, kerajaan kekal komited mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara berperingkat, selaras sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk menurunkan jumlah pekerja asing kepada 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara menjelang 2030.

Sehubungan itu, beliau menggesa persatuan pengusaha restoran, termasuk Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), mengemukakan cadangan berasaskan data dan kajian menyeluruh bagi membantu kerajaan merangka langkah mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

“Isu kebergantungan ini akan menyebabkan kesan herotan gaji dan produktiviti dalam negara, sekali gus menjadi cabaran berpanjangan kepada usaha meningkatkan pendapatan sara hidup rakyat,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here