SEORANG pelajar lelaki sebuah universiti swasta ditahan, selepas dipercayai mencederakan seorang wanita hingga kritikal di sebuah apartmen sewa di Bandar Sunsuria, Sepang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, suspek tempatan berusia 22 tahun itu ditahan pada hari kejadian selepas menyerang mangsa berusia 34 tahun menggunakan senjata tajam di kediaman sewa itu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang baru menyewa salah sebuah bilik di apartmen itu melalui aplikasi penginapan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mangsa.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan sambil memaklumkan mangsa dalam keadaan kritikal namun stabil dalam rawatan di sebuah hospital.
Menurutnya, setakat ini 10 keterangan sudah diambil, manakala ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif dan lelaki itu juga tiada sebarang rekod jenayah.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga 16 April bagi membantu siasatan. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Azroy Amran di talian 014-272 3342 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta mencetuskan kegusaran masyarakat.


