SEORANG maut manakala dua lagi termasuk seorang kanak-kanak parah selepas tapak perkhemahan mereka di Pulau Santap, Janda Baik ditimpa pokok tumbang.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria dalam satu kenyataan berkata mangsa maut dikenalpasti seorang wanita manakala dua yang cedera adalah elaki. Setakat ini identiti ketiga-tiganya masih belum dikenalpasti.
“Pihak kami menerima laporan mengenai kejadian jam 7.56 pagi. Sejurus mendapat laporan, 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, mereka mendapati sebatang pokok setinggi kira-kira 15 meter menghempap sebuah khemah. Anggota kemudian memotong pokok sebelum menemui tiga mangsa dalam khemah terbabit.
“Mangsa membabitkan seorang wanita, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang lelaki dewasa. Ketika ditemui, mangsa wanita sudah meninggal dunia manakala dua lagi cedera,” katanya
Zulfadli berkata mayat wanita yang maut itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala dua mangsa cedera, dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan.



