SEORANG wanita warga Australia dikhuatiri hilang selepas dipercayai terjatuh ketika menuruni Gunung Santubong, dekat Kuching malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Belinda Lapier, dilaporkan berada dalam kesukaran selepas keluar dari laluan pendakian asal di kawasan F7 gunung berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.20 malam.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 22 kilometer dari balai.
“Setibanya di kaki gunung itu pada jam 9.43 malam, renjer hutan memaklumkan mangsa dipercayai terjatuh ketika turun dari puncak.
“Berdasarkan maklumat, pada jam 5 petang, renjer hutan berjaya menghubungi mangsa dan menjalankan pencarian di lokasi terakhir, namun hanya suara mangsa dapat didengar tanpa dapat mengesan kedudukan sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian digerakkan dengan tumpuan di kawasan F7 bersama pasukan renjer hutan dan polis.
Menurutnya, pada jam 12.15 tengah malam, komander operasi melaporkan pencarian di lokasi terakhir masih gagal menemukan mangsa sebelum operasi dialihkan ke kawasan kebun berhampiran.
“Perkembangan positif diperoleh pada jam 12.48 tengah malam apabila mangsa berjaya dihubungi semula dan memberikan lokasi terkini. Susulan itu, lima anggota bomba bersama lima renjer hutan dan seorang anggota polis bergerak ke lokasi mangsa melalui laluan off-trail selepas dipercayai wanita itu tersasar dari trek asal.
“Bagaimanapun pada jam 2 pagi, pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi mangsa berikutan halangan batu besar dan pokok tumbang,” kata jurucakap itu.
Mangsa yang dapat dihubungi memaklumkan berada dalam keadaan selamat tetapi tidak dapat keluar dari kawasan berkenaan.
“Usaha menyelamat diteruskan namun laluan yang sukar serta keadaan gelap menyukarkan operasi. Operasi SAR akhirnya ditangguhkan pada jam 3.30 pagi dan akan disambung semula hari ini,” katanya.


