SERAMAI 16 warden lelaki sepenuh masa dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memulakan tugas di lapan MRSM terpilih bermula 1 Julai menerusi inisiatif baharu MARA bagi memperkukuh disiplin serta mewujudkan persekitaran asrama yang lebih selamat.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penempatan itu membabitkan fasa pertama daripada keseluruhan 32 warden yang dirancang untuk lapan MRSM dengan setiap institusi bakal mempunyai dua warden lelaki dan dua wanita.
“1 Julai Rabu ini, warden-warden sepenuh masa bekas tentera mula melaporkan diri di lapan MRSM terpilih termasuk MRSM Muar.
“Diharapkan selepas ini tiada lagi kedengaran kes-kes buli selain dapat meningkatkan tahap disiplin pelajar,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, pelantikan dibuat menerusi proses saringan yang ketat dan menyeluruh melibatkan kerjasama anak syarikat MARA Glokal Link Sdn Bhd (GLSB), Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), TalentCorp serta Seksyen Psikologi dan Kaunseling ATM.
Katanya, calon bukan sahaja dinilai menerusi temuduga fizikal malah melalui beberapa peringkat tapisan termasuk ujian psikometrik MyNext OCEAN dan RIASEC, ujian psikologi ketenteraan, saringan kesihatan mental, pemeriksaan BMI, ujian kecergasan serta penilaian panel pelbagai agensi.
“Komponen psikologi turut memberi penekanan kepada aspek perlindungan kanak-kanak, kawalan impuls, integriti, batas profesional dan indikator risiko salah laku seksual,” katanya.
Beliau berkata, sebelum dipanggil ke sesi temuduga fizikal, semua calon terlebih dahulu melalui semakan awal oleh JHEV dan TalentCorp bagi memastikan hanya veteran ATM yang menamatkan perkhidmatan secara terhormat dipertimbangkan.
Selain itu, GLSB turut melaksanakan semakan tambahan termasuk rekod jenayah dan latar belakang melalui saluran rasmi, semakan Daftar Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkaitan pesalah seksual serta semakan disiplin.
Menurut beliau, tiada surat tawaran akan dikeluarkan selagi semua tapisan prapelantikan belum disempurnakan.
“Hanya calon yang benar-benar layak, bersih, berintegriti dan sesuai menjaga pelajar MRSM akan dipertimbangkan untuk lantikan,” katanya.
Bagi pelantikan warden wanita pula, seramai 162 calon telah memohon dan sesi ujian atas talian sudah diadakan pada 25 Jun lalu manakala temuduga fizikal dijadual berlangsung pada 2 Julai.
Pelantikan mereka dijangka dibuat selepas selesai proses tapisan yang sama seperti calon lelaki.
Asyraf berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan pelantikan warden benar-benar dapat memenuhi harapan ibu bapa serta meningkatkan tahap keselamatan dan kebajikan pelajar di MRSM.






