Wong Chen umum letak jawatan Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa hari ini

AHLI Parlimen Subang, Wong Chen hari ini mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatannya sebagai wakil rakyat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Rabu lalu.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, wakil rakyat PKR itu memaklumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa jam 5 petang ini.

Beliau berkata, tempoh selama tiga hari itu bertujuan memberi laluan kepada kakitangan Dewan Rakyat membuat persediaan bagi kekosongan luar jangka untuk Parlimen Subang.

SURAT peletakan jawatan Wong Chen sebagai Ahli Parlimen Subang. GAMBAR: Facebook Wong Chen

“Kami (Chen dan Yang Dipertua Dewan Rakyat) bersetuju tidak membuat sebarang makluman mengenai perkara ini sehingga jam 5 petang ini.

“Kita juga akan menurunkan gelaran Yang Berhormat pada mana-mana papan iklan dan platform berkaitan menjelang bulan depan.

“Saya juga akan mengadakan sidang media untuk memberi penjelasan mengenai isu ini pada jam 11 pagi Rabu ini,” katanya dalam hantaran itu sebentar tadi.

Dalam hantaran sama, bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) itu turut memuat naik salinan surat peletakan jawatannya.

“Saya ingin mengemukakan secara rasmi peletakan jawatan saya sebagai ahli Dewan Rakyat dan mengosongkan kerusi Parlimen Subang secara sukarela, berkuat kuasa jam 5 petang, 10 Ogos ini (hari ini).

“Notis ini disampaikan kepada Johari, selaras Perlembagaan Persekutuan dan bertarikh 5 Ogos lalu, bagi memberikan tempoh tiga hari bekerja kepada pentadbiran Parlimen untuk menguruskan proses serta dokumentasi berkaitan kekosongan berkenaan.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada Johari serta seluruh warga Parlimen atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama selama tiga penggal saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here