YDSM angkat martabat pendidikan STEM melalui Pertandingan Inovator Muda

DI SEBALIK usaha berterusan memperkasakan pendidikan STEM di sekolah, penyediaan platform yang membolehkan murid menterjemahkan pembelajaran di bilik darjah kepada penyelesaian dunia sebenar dilihat sama penting dalam melahirkan generasi berdaya saing.

Bagi merealisasikan usaha itu, YDSM yang merupakan sebuah yayasan amal Diraja di bawah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu(PSKT) berganding bahu untuk penganjuran kali pertama Pertandingan Inovator Muda YDSM pada 4 Oktober di Kuala Teremngganu yang menyasarkan penyertaan dari murid-murid sekolah seluruh negeri ini.

Pertandingan ini juga turut mencipta momentum tersendiri setelah menerima 203 penyertaan daripada pelbagai peringkat sekolah termasuk sekolah beraliran pendidikan agama dari seluruh daerah dalam negeri ini.

Murid sekolah beraliran agama juga merupakan di antara peserta Pertandingan Inovator Muda Yayayan Diraja Sultan Mizan.

Menariknya, penyertaan bukan sahaja datang dari kawasan bandar malah turut membabitkan sekolah luar bandar termasuk SK Keruak di Hulu Besut dan SK Kuala Berang di Hulu Terengganu, manakala SK Pulau Perhentian pula perlu merentasi laut untuk hadir bertanding.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof melihat penganjuran ini mampu memberi impak yang besar bagi pembangunan dan kemajuan buat sesuatu negeri mahupun negara pada masa hadapan.

“Matlamat utama Yayasan Diraja Sultan Mizan atau YDSM adalah untuk mempertingkatkan, memperkasakan dan memperhebatkan taraf sosio ekonomi penduduk Terengganu khususnya dan Malaysia amnya. Bila kita bercakap tentang sosio ekonomi ia meliputi pelbagai bidang termasuk pendidikan. Dalam sistem pendidikan moden ini kita sedia maklum, pentingnya TVET.

“Peluang sama rata juga sewajarnya diberikan kepada setiap murid-murid sekolah ini tanpa mengira latar belakang sesuatu sekolah mahupun institusi atau aliran sekolah itu di mana kita boleh lihat pada hari ini sekolah beraliran agama juga turut bertanding. Ianya suatu penanda aras yang baik untuk usaha bersama ini,” kata Mohd Fadzli.

Manakala bagi Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim menekankan bahawa prestij penganjuran juga adalah penglibatan daripada barisan juri-juri pertandingan yang hadir dari agensi kementerian berkaitan, pemegang taruh sektor industri dan juga pendidikan untuk menilai setiap perbentangan produk reka cipta dan inovasi dalam pertandingan ini.

“Walaupun kategori yang dipertandingkan itu melibatkan produk atau inovasi berkaitan dengan kumpulan sasar orang kelainan upaya, warga emas dan keselamatan dalam kehidupan seharian berteraskan kecerdasan buatan(AI). Ianya masih mampu untuk diketengahkan oleh murid-murid sekolah sekaligus memberi satu penanda aras bagi sektor pendidikan STEM itu sendiri,” ujarnya.

Sebanyak 203 perbentangan meliputi 5 kategori yang dipertandingkan telah berlangsung selama sehari di PSKT, Kuala Terengganu. Hanya 5 penyertaan yang terbaik bagi setiap kategori telah terpilih untuk pencalonan akhir bagi merebut Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan yang akan diumumkan pada penghujung tahun ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here