KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan empat premis menjual dan menyimpan ubat-ubatan tidak berdaftar yang disyaki dikendalikan warga asing, dengan dua daripadanya dipercayai beroperasi sebagai klinik dalam Ops Bersepadu Mega di sekitar Lebuh Pudu, Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Shafilliza Samsuri berkata, premis terbabit berselindung di sebalik perniagaan menjual kain dan syarikat pelancongan, namun pemeriksaan menemukan mesin pemeriksaan tekanan darah, gula dalam darah serta pelbagai ubat yang tidak mendapat kelulusan KKM.
“Klinik ini menyasarkan pelanggan warga asing. Modus operandi yang dikesan ialah premis disyaki dioperasikan oleh doktor warga asing, namun semasa serbuan tiada individu berada di dalam premis.
“Siasatan awal mendapati pesakit akan dibawa ke bilik belakang premis untuk menjalani ujian pemeriksaan tekanan darah dan gula sebelum diberikan ubat,” katanya kepada pemberita, lapor Bernama.
Shafilliza berkata, antara ubat yang dirampas adalah antibiotik, ubat darah tinggi dan ubat untuk jangkitan kulat, selain penemuan ubat suntikan kebas dan set picagari.
Beliau berkata, kebanyakan ubat itu disyaki dibawa masuk dari Bangladesh dan tidak mempunyai pendaftaran di Malaysia walaupun mungkin berdaftar di negara asal ubat berkenaan.
“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti penyewa premis serta individu yang dipercayai berperanan sebagai doktor di klinik haram berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd Hisham Izhar berkata, pihaknya mengeluarkan 28 notis dalam operasi sama, membabitkan 19 notis atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen dan halangan di tempat awam selain sembilan notis terhadap pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan.
Beliau berkata, daripada 19 notis itu, 13 tindakan sita dilaksanakan melibatkan halangan di kaki lima dan kawasan awam serta premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.
“Pemeriksaan turut mendapati 382 bilik tambahan dibina secara tidak sah di sejumlah premis yang diperiksa, dengan sesebuah tingkat bangunan diubah suai hingga mempunyai antara 15 dan 30 bilik,” katanya.
Mohd Hisham turut menegaskan DBKL tidak pernah mengiktiraf kawasan Jalan Silang atau Lebuh Pudu sebagai `Mini Dhaka’ kerana jumlah warga Bangladesh yang ramai di situ meskipun gelaran itu sering digunakan oleh orang ramai.
Dalam operasi itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur turut menahan 472 warga asing atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.





