4 Tahun MADANI: Pembaharuan institusi, ketelusan ukur kejayaan kerajaan perangi rasuah – Penganalisis

PENGUKUHAN institusi, pembaharuan perundangan dan peningkatan ketelusan pengurusan kewangan negara antara sumbangan penting Kerajaan MADANI dalam usaha memerangi rasuah sepanjang hampir empat tahun pentadbirannya.

Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata, pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan pendekatan lebih tersusun dalam menangani gejala rasuah menerusi pelbagai inisiatif dan pembaharuan.

PROF Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk

Menurutnya, antara langkah penting adalah pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang menggariskan 60 substrategi merangkumi pendidikan, akauntabiliti awam, penguatkuasaan dan integriti.

“Selain itu, penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta Akta Perolehan Kerajaan 2026 turut menjadi antara usaha memperkukuh akauntabiliti dan mengurangkan ruang berlakunya ketirisan serta salah guna kuasa.

“Usaha memperkasakan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan membanteras penyelewengan dalam pengurusan sumber awam juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk menangani rasuah secara lebih menyeluruh,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Bagaimanapun, Azeem Fazwan berkata, cabaran utama kerajaan bukan sekadar memastikan lebih banyak kes disiasat atau tindakan pendakwaan diambil, sebaliknya membuktikan penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten tanpa campur tangan politik.

Katanya, tindakan terhadap mana-mana individu yang disyaki terbabit rasuah perlu dilaksanakan tanpa mengira kedudukan, pangkat atau pengaruh bagi memastikan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang terus dipelihara.

“Justeru, kejayaan agenda antirasuah Kerajaan MADANI akhirnya perlu dinilai berdasarkan keberkesanan pembaharuan institusi, peningkatan keyakinan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan serta keupayaan kerajaan membina budaya integriti dan akauntabiliti yang benar-benar berakar dalam sistem pentadbiran negara,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here