SEBANYAK 465 kematian tahanan direkodkan di depot imigresen di seluruh negara dari 2021 hingga 2025.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu daripada keseluruhan 349,856 kemasukan terkumpul ke depot imigresen dalam tempoh sama, menjadikan kadar kematian 0.13 peratus.

Menurut beliau, sebanyak 393 kes atau 84.5 peratus membabitkan tahanan lelaki, manakala 60 kes adalah tahanan perempuan.
Bagi kanak-kanak, katanya, 12 kematian direkodkan, iaitu lapan kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.
“Jumlah kematian tertinggi direkodkan bagi warganegara Filipina iaitu sebanyak 222 kes, diikuti Indonesia (109 kes) dan Myanmar sebanyak 61 kes.
“Selebihnya sebanyak 73 kes (15.7 peratus) membabitkan lain-lain warganegara yang terdiri daripada pelbagai negara dalam jumlah kecil termasuk Bangladesh, India, Thailand, Vietnam, Kemboja dan China.
“Selain itu, Pakistan, Iraq, Iran, Botswana, Venezuela, Brunei, Palestin, Republik Arab Syria, United Kingdom (UK) serta individu tanpa kewarganegaraan,” katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang ingin tahu mengenai jumlah kematian direkodkan di Depot Imigresen bagi setiap tahun dari 2015 hingga 2025, termasuk pecahan mengikut depot, kewarganegaraan, jantina, punca kematian.
Beliau juga ingin tahu tindakan penambahbaikan yang sudah diambil bagi menangani isu kebajikan serta kesihatan tahanan selaras dengan prinsip kemanusiaan.
Mengulas mengenai punca kematian tahanan, Saifuddin berkata, ia antaranya disebabkan oleh sepsis dan kejutan septik, penyakit sistem pernafasan, penyakit jantung dan kardiovaskular, penyakit pencernaan dan hati, serta penyakit berjangkit seperti HIV/Aids, leptospirosis dan meningitis.
Dalam pada itu katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menambah baik arahan pentadbiran dan pengurusan depot termasuk saringan awal ketika tahanan masuk ke depot, pemeriksaan berkala dan rekod perubatan lebih teratur.
“Selain itu, langkah pengasingan kes penyakit berjangkit atau kes kecemasan kesihatan mental, serta rujukan terus ke hospital atau pakar.
“Tahanan juga perlu dibekalkan kit kebersihan, pakaian dan selimut, selain dibenarkan beriadah di luar sel sekurang-kurangnya sekali seminggu,” katanya.
Selain itu, katanya, aktiviti riadah di luar sel dibenarkan sekurang-kurangnya sekali seminggu.
“Tahanan juga diberi kelonggaran berhubung dengan keluarga melalui panggilan telefon, surat, atau lawatan (atas kelulusan Komandan).
“Antara tindakan tambah baik yang lain, kawalan ketat dan ujian sampel makanan dilakukan secara berkala bagi memastikan diet yang disediakan selamat, tidak basi, dan mematuhi spesifikasi,” katanya.






