SEBANYAK 47 orang warga asing pelbagai warganegara telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pahang dalam satu operasi penguatkuasaan bersama Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) di Cameron Highlands pada Rabu lalu.
Jabatan itu melalui Facebook memaklumkan, kesemua mereka ditahan hasil serbuan di sebuah tapak pembinaan oleh 17 pegawai Imigresen Pahang dan 12 pegawai Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP).
‘’Mereka disyaki tinggal atau bekerja di Malaysia secara tidak sah hasil daripada maklumat dan aduan awam. Sepanjang operasi dijalankan, 57 orang individu telah diperiksa kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
‘’Kesemua 47 orang tahanan direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Imigresen Kemayan untuk siasatan lanjut,’’ kata kenyataan itu.
JIM Pahang menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan PATI di lokaliti masing-masing bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu kebanjiran PATI di negeri ini.
‘’Tindakan perundangan yang tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap PATI dan mana-mana pihak yang menggaji serta memberi perlindungan kepada mereka,’’ kata kenyataan tersebut.






