SEORANG anggota tentera wanita antara empat individu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu dalam pelaburan minyak wangi tidak wujud, dua bulan lepas.
Anggota tentera itu yang digantung tugas, Puteri Alisa Nabila Muhammad Razali, 23, dan tiga pekerja kedai minyak wangi Mohammad Nazirul Azri Fairus, 29, Mariam Najwa Mahadi, 27, dan Khor Leong Weong, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.
Mereka didakwa bersama-sama memperdaya anggota tentera Muhammad Adam Haikal Abdul Rahman, 20, supaya menyertai pelaburan minyak wangi yang tidak wujud, sehingga mangsa memindahkan wang berjumlah RM38,400 ke dalam akaun bank milik tertuduh ketiga, Mariam Najwa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Sentul pada 2 Mei lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM50,000 terhadap Puteri Alisa Nabila manakala tiga lagi tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan mengambil kira jumlah wang terlibat ialah RM38,400.
“Pihak pendakwaan memohon jaminan tinggi terhadap Puteri Alisa Nabila kerana dia merupakan anggota tentera yang berisiko untuk melarikan diri kerana dipercayai pernah tidak hadir bertugas selama lebih setahun.
“Mahkamah juga boleh menetapkan syarat tambahan supaya kesemua pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.
Peguam Muhammad Naqib Aiman Mohd Faizal yang mewakili kesemua tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan mereka menanggung keluarga dan tiada rekod jenayah lampau.
“Kesemua tertuduh tiada risiko untuk melarikan diri kerana mempunyai keluarga dan alamat tetap di sini dan mereka juga sentiasa memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan,” katanya.
Mahkamah membenarkan Puteri Alisa Nabila diikat jamin RM14,000 manakala tiga lagi tertuduh, Mohammad Nazirul, Mariam Najwa dan Khor diikat jamin RM7,000.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 21 Ogos ini untuk sebutan semula kes.






