Naik taraf sistem CCTV di SPRM siap, perkukuhkan tahap keselamatan

TAHAP keselamatan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bakal diperkukuhkan menerusi sistem pemantauan yang lebih sistematik dan bersepadu apabila projek naik taraf sistem kamera litar tertutup (CCTV) di agensi itu siap sepenuhnya.

Projek bernilai RM6.5 juta yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan Putrajaya ini membabitkan pemasangan teknologi pemantauan termaju, termasuk ciri pengesanan wajah atau Face Recognition, bagi memperkukuh sistem keselamatan serta tadbir urus organisasi.

PENGARAH BKAP SPRM, Datuk Sukairi Samsudin (tengah) bergambar bersama hadirin pada majlis penyerahan rasmi projek menaiktaraf CCTV di ibu pejabat SPRM di Putrajaya semalam. GAMBAR: SPRM

Jurutera Awam Penguasa Kanan yang menjalankan tugas Pengarah JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya, Adilah Muniyati Johari berkata, projek berkenaan disiapkan sepenuhnya pada 17 Disember 2025, lebih awal dari jadual penyerahan rasmi.

Beliau berkata, skop projek membabitkan pemasangan 557 unit kamera jenama Panasonic yang terdiri daripada pelbagai jenis berteknologi tinggi seperti Bullet, PTZ, Dome, dan Multisensor.

“Kepercayaan yang diberikan SPRM kepada JKR sebagai agensi teknikal bagi projek ini adalah satu amanah besar yang dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Sepanjang pelaksanaan, fokus utama kami adalah memastikan sistem keselamatan lebih stabil, bersepadu dan berkesan dapat diwujudkan demi menyokong operasi SPRM secara menyeluruh,” katanya pada majlis penyerahan rasmi projek berkenaan di Auditorium ibu pejabat SPRM di Putrajaya semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Kewangan, Akaun dan Pembangunan (BKAP) SPRM, Datuk Sukairi Samsudin; Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) SPRM, Mohammad Shahizan Abdullah; Pengarah Bahagian Keselamatan (BHK) SPRM, Zuhairie Abu Bakar serta Jurutera Mekanikal Penguasa Kanan JKR WPP, Ir Ts Norhisham Launah.

Selain pemasangan kamera, projek yang bermula pada 29 Mei tahun lalu itu turut membabitkan pembaharuan perisian kritikal termasuk P1 Server dan Sistem Pengurusan Pelawat (Visitor Management System – VMS).

Penaiktarafan ini membolehkan pemantauan dijalankan secara stabil selama 24 jam sehari.

Penggunaan teknologi pengesanan wajah dan pengesahan identiti dilihat sejajar dengan Pelan Strategik SPRM untuk memastikan dokumentasi keluar masuk kakitangan serta pelawat yang lebih teratur dan ketat.

Adilah Muniyati turut memuji komitmen kontraktor utama, Jejak Teknologi Sdn Bhd serta kerjasama erat daripada BHK, BKAP serta BKP SPRM yang memastikan projek siap mengikut masa, kualiti dan kos yang ditetapkan.

Majlis penyerahan projek ini disifatkan sebagai simbol kejayaan kolaborasi strategik antara SPRM dan JKR.

Ia membuktikan bahawa koordinasi yang efisien antara agensi kerajaan dan pihak swasta mampu menghasilkan impak tinggi kepada keselamatan negara.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img