SEORANG pemandu lelaki warga emas maut manakala lima wanita cedera apabila sebuah van membawa pekerja kilang terlibat dalam kemalangan berhampiran Puspakom Seelong, Senai di Kulai pagi ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Penguasa Bomba Muhammae Nor Zaki Mohd Ali berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut pada jam 6.32 pagi.
Beliau berkata, sebaik sahaja menerima panggilan berkenaan sebuah jentera fire rescue tender dengan lima anggota bomba dari BBP Bandar Baru Kulai bergegas ke lokasi sejauh 14 kilometer.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi pada jam 6.48 pagi, didapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah van dengan kesemua mangsa dalam keadaan tersepit.
“Pemandu van iaitu seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang berada di lokasi menakala lima penumpang wanita lain mengalami cedera ringan.
“Kesemua mereka kemudiannya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan peralatan power unit. Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala kesemua mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak perubatan bagi menerima rawatan,” katanya.
Muhammad Nor Zaki berkata, operasi menyelamat mangsa kemalangan terkawal pada jam 7.03 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.14 pagi.


